Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Mei – Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana pada Julai hingga September 2019, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam Laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia : Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi bulan rujukan Mac 2019 yang dikeluarkan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perubahan tahunan Indeks Pelopor (IP) menunjukkan peningkatan kepada negatif 1.7 peratus daripada negatif 2.8 peratus pada Februari 2019.

Komposit IP itu disusun untuk memantau arah ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, perubahan bulanan IP pada Mac 2019 mencatat pertumbuhan 0.7 peratus kepada 117.1 mata daripada 116.3 mata dalam bulan sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan Penawaran Wang Benar atau M1 (0.4 peratus) dan Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (0.3 peratus).

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa, susut 0.1 peratus pada Mac lepas.

Tiga daripada enam komponen telah memperlahankan prestasi IS terutamanya komponen Gaji & Upah Benar di sektor pembuatan (-0.3 peratus).

“Bagaimanapun, perubahan tahunan IS tumbuh 2.2 peratus pada Mac 2019,” katanya. – BERNAMA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini