KUALA PILAH – Dua lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam perbuatan menjual gari secara haram pada harga RM120 melalui laman sosial Facebook sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, suspek pertama berjaya diberkas polis pada pukul 6 petang semalam.
“Dia yang merupakan seorang jurujual lelaki berusia 21 tahun ditahan di sebuah pasar raya di Melang di sini.
“Polis turut merampas bungkusan plastik mengandungi 20 gari serta beg kecil dan kunci daripada lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Haslah berkata, polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang dipercayai ejen dalam perbuatan menjual gari berkenaan.
Menurut beliau, lelaki itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah pada 12 tengah hari ini.
Jelasnya, siasatan polis mendapati kegiatan itu dilakukan sejak Mac lalu dan ejen tersebut membayar RM2,500 bagi mendapatkan sebanyak 60 gari.
Tambahnya, suspek mengupah jurujual mempromosikannya dalam laman sosial dan diberi komisen RM20 bagi setiap gari dijual.
Katanya, pelanggan dipercayai menempah gari bagi kegunaan mengunci tayar motosikal dan menerimanya sama ada secara penghantaran terus atau kiriman pos.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang mendapat bekalan gari dari sebuah syarikat di Perlis ditahan mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967.
“Polis kini sedang mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai Mubarak bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya lagi. – K! ONLINE











