ALOR SETAR 24 Mei – Seorang pesara guru berusia 65 tahun cedera pada jari telunjuk tangan kanannya akibat digigit seekor kongkang jantan yang masuk ke dalam rumahnya di Kampung Alor Melintang, Jalan Datuk Kumbar di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa digigit ketika cuba menangkap haiwan tersebut atau nama saintifiknya Nycticebus coucang.
Mangsa kemudian dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar, Leftenan (PA) Mohammad Rizal Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 8 pagi.
“Seramai tiga anggota telah bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap kongkang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, namun sebaik sahaja tiba di lokasi, haiwan itu telah ditangkap oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihaknya.
“Dalam kejadian ini, seorang warga emas mengalami kecederaan pada jari akibat digigit kongkang dan mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital,” ujarnya.
Tambah beliau, haiwan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri untuk tindakan lanjut.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak sendiri ketika berhadapan dengan haiwan yang agresif bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










