BAHAGIAN 3
Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)
SURUHANJAYA Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghendaki satu takrif “keselamatan” yang spesifik atas alasan kononnya terdapat kebimbangan Cawangan Khas (SB) akan diperalatkan oleh parti-parti politik yang berkuasa. Suruhanjaya tidak berpuas hati dengan Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 yang memberi definisi umum berkaitan dengan tanggungjawab SB iaitu collection of security intelligence.
Takrif “keselamatan” yang disyorkan oleh Suruhanjaya didapati telah dicedok bulat-bulat daripada Seksyen 4 Australian Security Intelligence Organisation (ASIO) Act 1979. ASIO adalah sebuah agensi perisikan yang tiada kuasa menangkap tetapi hanya tertumpu kepada bidang penyiasatan. Di Amerika Syarikat, penubuhan National Security Agency (NSA) tidak diluluskan oleh Kongres tetapi hanya melalui satu memorandum yang dikeluarkan oleh Walter Bedell Smith, Chief of Staff kepada Presiden Eisenhower.
Agensi perisikan Barat seperti MI5 dan MI6 di United Kingdom memberi takrif “keselamatan” secara umum sebagaimana terkandung dalam Intelligence Services Act 1994 atas alasan definisi “keselamatan” adalah tertakluk kepada bidang kuasa eksekutif dan tidak melibatkan pihak kehakiman.
Definisi “keselamatan” secara umum akan memberi ruang kepada kerajaan dan pihak eksekutif untuk mengambil tindakan yang sesuai mengikut persekitaran keselamatan yang berubah-ubah dari semasa ke semasa. Pendekatan sama juga diambil oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat di mana takrif “keselamatan” dibuat secara umum dan tidak spesifik atas alasan sama.
Komposisi penduduk Malaysia adalah pelbagai kaum sementara isu-isu keselamatan pula berkembang selari dengan struktur masyarakat. Sesuatu isu yang menarik perhatian berpotensi menjadi ancaman terhadap keselamatan negara pada satu tempoh tertentu mengikut peredaran masa dan perubahan persekitaran. Sebagai contoh, penyelewengan fahaman agama yang suatu ketika dahulu diletakkan sekadar masalah keselamatan setempat tetapi kini telah bertukar menjadi ancaman terhadap keselamatan negara seperti terdapat pada kumpulan militan Jemaah Islamiah dan Daesh.
Ancaman terhadap keselamatan negara dalam konteks Malaysia adalah sesuatu yang sukar diramal, misalnya isu perkauman yang boleh meletus secara tiba-tiba serta mampu menggugat keharmonian dan kemakmuran negara. Pengalaman lepas memperlihatkan perjuangan individu dan kumpulan yang pada asalnya berlandaskan isu-isu tempatan, sejagat dan hak asasi manusia telah dimanipulasi sehingga mendorong sesetengah pihak turun ke jalanan untuk mengenakan tekanan terhadap kerajaan. Oleh itu takrif keselamatan secara spesifik adalah tidak sesuai kerana penilaian terhadap keselamatan negara mestilah bersandarkan kepada perubahan persekitaran.
Konsep keselamatan negara seharusnya difahami secara jelas oleh semua pihak. Konsep yang dipegang oleh negara-negara maju tidak boleh dijadikan asas untuk ikutan Malaysia. Bagi negara dunia ketiga yang sedang membangun seperti Malaysia, keselamatan negara turut dikaitkan secara langsung dengan unsur-unsur ancaman dalaman seperti etnik, pelampau, sabotaj dan sebagainya. Keselamatan juga wajar dikaitkan dengan ancaman terhadap cubaan untuk menjatuhkan kerajaan yang sah, rejim memerintah yang mendapat keabsahan daripada rakyat.
Oleh yang demikian mempertahankan kerajaan yang sah adalah merupakan tanggung jawab pihak keselamatan. Jika terdapat elemen yang cuba untuk menumbangkan kerajaan melalui cara yang tidak sah maka PDRM bertanggungjawab untuk memastikan keabsahan kerajaan tersebut terpelihara demi keamanan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
Pengertian bimbang PDRM digunakan untuk kepentingan kerajaan sebagaimana didakwa dalam Laporan Suruhanjaya adalah popular dan sinonim ketika era reformasi sekitar 1998 dan berterusan menjadi sebutan aktivis-aktivis berkenaan hingga kini. Persoalannya kenapa Suruhanjaya terpedaya dengan isu yang dibawa oleh golongan reformasi sehingga gagal mentaksir keselamatan negara dalam konteks Malaysia?
Pertubuhan bukan kerajaan negara ini juga dikesan menerima bantuan kewangan antarabangsa untuk penggunaan mengancam kedudukan pihak pemerintah. Adakah gejala seperti ini wajar diberikan kebebasan untuk meneruskan gerakan mereka mengkhianati kerajaan? Adakah wajar segelintir manusia yang ghairah menggerakkan keutuhan hak asasi manusia ini diberikan peranan untuk mempersoalkan kewibawaan PDRM mengekalkan keamanan negara ini setelah sekian lama?
Harus disedari gelombang neo-liberalisme dan hegemoni kuasa besar cuba merosakkan kestabilan politik negara. Tindakan ini adalah satu pembelotan terhadap kedaulatan negara. Bersetuju dengan taksiran yang dibawa oleh golongan reformasi bererti bersetuju dengan kaedah menjatuhkan kerajaan di luar Perlembagaan. Terbukti kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ditumbangkan bukan dengan kekerasan tetapi dengan kuasa mengundi rakyat. Tiada rusuhan dan tiada pergaduhan berlaku walaupun wujud kelewatan pengumuman yang bukan di bawah bidang kawalan mereka.
The Powers And Activities of Special Branch Must Be Spelt Out In The Law (Chapter 10, para 2.11.4 (b)(vi), page 318) .
Peruntukan undang-undang secara terbuka mengenai listening devices, tracking devices, computer access warrant boleh mendedahkan sources of intelligence. Pengarah Cawangan Khas (SB) tidak perlu untuk mendedahkan sumber risikan kepada sesiapa kecuali atas arahan Perdana Menteri atau Menteri Dalam Negeri dan demi kepentingan keselamatan maka adalah wajar peruntukan-peruntukan mengenai perkara ini lebih merupakan bidang kuasa pihak eksekutif iaitu Menteri Dalam Negeri sendiri.
Syor Suruhanjaya ini juga dicedok daripada Australian Security Intelligence Organisation (ASIO) Act, 1979. Peruntukan ini mungkin sesuai dengan Australia kerana ia adalah sebuah negara pulau yang terasing dan agak jauh dari negara-negara lain dan oleh itu ancaman yang dihadapinya tidaklah begitu mendesak. Malaysia sebaliknya mempunyai perbatasan yang sering bergolak seperti di Selatan Thailand, Indonesia dan Filipina termasuk isu sempadan dengan Singapura. Perbatasan negara kita yang lebih terbuka dalam era globalisasi ini memerlukan tindakan yang cepat dan tegas dan peruntukan yang terkandung dalam ASIO Act 1979 adalah tidak sesuai. Malahan CIA juga yang ditubuhkan di bawah peruntukan National Security Act 1947 mengandungi kuasa dan peruntukan yang umum dan tidak disebutkan secara lengkap sebagaimana yang terkandung dalam ASIO Act, 1979.
Cadangan seperti ini akan menjejaskan kewibawaan perisikan PDRM untuk melaksanakan fungsi dan peranannya ke arah menjamin keselamatan negara. Bahagian perisikan PDRM tentunya berpendirian demi kepentingan keselamatan negara, adalah wajar perkara berkaitan powers and activities of special branch menjadi bidang kuasa pihak eksekutif iaitu Perdana Menteri atau Menteri Dalam Negeri.
Dalam pada itu, syor Suruhanjaya ini yang juga dicedok daripada ASIO Act 1979 telah diguna pakai bagi menangani ancaman keganasan sahaja sebaliknya Suruhanjaya menghendaki PDRM mengguna pakai peruntukan tersebut dalam semua keadaan.
Guidelines Or Instructions Relating To Security Must Be Tabled In Parliament (Chapter 10, para 2.11.4 (iii), page 317).
Syor ini terlampau menyeluruh dan bermakna segala garis panduan dan arahan yang dikeluarkan oleh PDRM dan juga menteri bertanggungjawab mestilah dibentangkan di Parlimen. Suruhanjaya lebih menitikberatkan kepada hak asasi manusia tetapi tidak dapat membezakan bahawa garis panduan atau arahan merupakan perkara-perkara pentadbiran.
Ini bermakna arahan dan dokumen-dokumen tatakerja perisikan PDRM yang sulit perlu dibentangkan di Parlimen dan ini tidak pernah berlaku di negara-negara lain. Ini disebabkan tatacara kerja perisikan dan trade craft mereka jika didedahkan akan membocorkan modus operandi kepada pihak musuh yang mana sebahagiannya adalah rahsia negara dan kerajaan.
BERSAMBUNG ESOK











