84,500 rokok seludup bernilai RM455,000 dirampas - Utusan Malaysia

84,500 rokok seludup bernilai RM455,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELURAN 20 Mei- Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di sini berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 84,500 bungkus rokok yang dianggarkan bernilai RM455,000 dengan menahan lima lelaki tempatan dalam satu operasi khas di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh semalam.

Komander ESSCom, Datuk Hazani Ghazali berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 46 tahun itu memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) secara berasingan ditahan ketika dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Sandakan kira-kira pukul 5.45 petang.

Katanya, bertindak atas maklumat awam, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap lima buah kenderaan SUV yang datang dari arah Kota Kinabalu dalam keadaan mencurigakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua pemandu itu telah diarahkan turun dan hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan SUV itu dipenuhi oleh kotak disyaki rokok seludup yang belum dibayar cukai kastam.

”Antara rokok yang ditemukan adalah sebanyak 45,800 bungkus Astro merah, 22,880 bungkus Astro hijau, 1,850 bungkus Astro hitam, 1,200 bungkus rokok Extreme, 4,500 bungkus Era Biru, 3,600 bungkus rokok Absulete (kretek), 2,670 bungkus rokok Apache dan 2,000 bungkus Era Hitam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Hazani, beliau percaya rokok tersebut cuba diseludup dari negara jiran Indonesia untuk dipasarkan di kawasan pantai timur Sabah khususnya di daerah Sandakan.

Katanya, kesemua suspek serta barang rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis daerah Beluran untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

“Kita juga menyita lima kenderaan SUV iaitu empat jenis proton Exora dan sebuah Toyota Innova bernilai RM250,000 serta anggaran nilai taksiran cukai kastam yang belum dibayar bagi rokok seludup berkenaan adalah kira-kira RM650,000.

“Esscom akan sentiasa memperketatkan kawalan terutamanya di kawasan yang disyaki menjadi laluan penjenayah dan kemasukan pendatang asing tanpa izin bagi mengekang aktiviti penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi serta aktiviti pemerdagangan manusia- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini