LUMUT – Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan 74 pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika melakukan rondaan Ops sayang di Pulau Jarak petang semalam.
Pengarah Maritim negeri Perak, Kapten Wan Mat Wan Abdullah berkata, kesemua mereka merupakan warga Indonesia berusia 11 bulan hingga 53 tahun itu ditahan oleh KM Marlin lebih kurang 23 batu nautika selatan Pulau Jarak kira-kira pukul 1.50 petang.
“Semasa rondaan dilakukan di kawasan tersebut, pihak kami mengesan sebuah bot barter trade dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika kami menghampiri bot tersebut, tiga orang yang disyaki tekong dan kru bot telah terjun ke laut untuk menyelamatkan diri. Pihak kami telah melakukan pencarian tetapi hanya seorang yang ditemui manakala dua lagi mangsa masih belum ditemui,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM di sini hari ini.
Menurut Wan Mat, ketika pemeriksaan dilakukan kesemua 74 pati berada di dalam bot tersebut dengan bersembunyi di dalam petak-petak yang dijadikan tempat persembunyian semasa pelayaran.
“Kesemua mereka yang terdiri daripada 57 lelaki, 15 perempuan dan dua kanak-kanak dalam perjalanan ke Tanjung Balai.
“Pihak kami juga menjumpai sejumlah besar beg pakaian,pasport dan keperluan peribadi dipercayai persiapan untuk pulang menyambut hari raya,” katanya.
Katanya, kesemua pati dibawa ke Pusat tahanan Vesel Kampung Bharu dan kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Imigran 2007.
Dalam pada itu Wan Mat berkata, dalang sindiket penyeludupan keluar atau masuk migran ini dipercayai warga tempatan dan warga indonesia yang menetap di sini.
“Mereka mengaut keuntungan yang besar dengan mengenakan bayaran dari RM1,000 hingga RM1,500 seorang tanpa mengambil kira keselamatan penumpang,” katanya.
Wan Mat juga menasihati mereka yang ingin pulang ke negara asal supaya menggunakan laluan yang sah (mengikut undang-undang) dan dapat pulang dengan selamat. – K! ONLINE











