KUALA LUMPUR 24 Mei – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengedarkan 5,000 bubur lambuk antarabangsa kepada orang awam di sekitar Pasar Seni di sini hari ini.
Ketua Jabatan komunikasi Korporat Bernas, Norliza Mat Isa berkata, pihakya membuat kelainan sempena bulan Ramadan dengan mengedarkan 10 jenis bubur lambuk daripada pelbagai negara kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
“Bubur lambuk itu menggunakan resepi dari 10 negara yang dimasak menggunakan pelbagai jenis beras yang berada dipasaran seperti beras putih tempatan, perang, hitam, merah, basmati, wangi, pulut dan calrose.
“Resepi bubur lambuk itu adalah diinspirasikan daripada 10 negara seperti Thailand, Kemboja, Malaysia, Singapura, China, Korea, Bugis, Vietnam, Jepun dan India,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Ikhlas Bubur Lambuk Antarabangsa di sini hari ini.
“Pengagihan bubur lambuk ini adalah salah satu tradisi sempena bulan ramadan dan kami turut ingin memberi pendedahan kepada warga asing untuk merasai keenakan bubur lambuk.
“Bernas berharap program itu dapat diteruskan untuk tahun yang akan datang memandangkan pengagihan bubur lambuk hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE











