14 jam masak serunding tradisi turun-temurun - Utusan Malaysia

14 jam masak serunding tradisi turun-temurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT 31 Mei – Empat belas jam! Enam jam merebus daging dan lapan jam keesokan harinya pula untuk memasak serunding.

Itu belum dikira urusan penyediaan pelbagai rempah-ratus dan melerai atau menyiat daging yang sudah direbus supaya menjadi carikan halus.

Demi menjamin kualiti serunding yang dihasilkan, Ruhayawani Ali, 37, salah seorang pengusaha serunding di Kampung Laut, kira-kira 12 kilometer dari sini (Tumpat), mengekalkan resipi dan cara pembuatan tradisional yang dipelajari daripada ibunya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ruhayawani menyambung tradisi turun-temurun keluarganya sejak empat tahun lalu, mewarisi perusahaan Waniez Serunding yang kini menjangkau empat generasi – sejak lebih 30 tahun lalu. Sebelum ini, perusahaan itu diuruskan oleh ibunya, Harishan Yusuf, 66, yang dibantu oleh ayahnya Ali Harun, 71. Beliau sudah mula membantu kedua-dua orang tuanya di kilang sejak di sekolah menengah.

Perusahaan itu mengeluarkan empat jenis serunding iaitu serunding daging (lembu – tempatan dan import), serunding ayam dan serunding ikan.

Aroma masakan akan berbeza apabila dimasak menggunakan dapur kayu
Aroma masakan akan berbeza apabila dimasak menggunakan dapur kayu jika dibandingkan dengan dapur gas. Malah, dapur kayu dapat mempercepatkan daging berkenaan lembut dan empuk. – BERNAMA

Setiap hari kilang itu memproses 60 kilogram daging, 20 kilogram ayam dan 35 kilogram ikan, untuk dijadikan serunding. Serunding daging mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan terutamanya ketika musim cuti sekolah dan perayaan.

“Malah, ketika musim perayaan seperti hari raya, permintaan terhadap serunding ikan meningkat kerana ia banyak digunakan sebagai inti bagi aneka kuih raya, antaranya popia dan karipap mini,” tambahnya.

Ruhayawani dibantu oleh lima anggota keluarganya, namun ada kalanya perlu mengambil pekerja tambahan jika permintaan meningkat.

Proses menyediakan serunding daging memerlukan masa lebih lama berbanding serunding ayam dan ikan yang boleh siap di masak pada hari sama. Ruhayawani hanya memproses satu jenis serunding setiap hari.

Daging direbus selama enam jam, sehari sebelum proses membuat serunding. Keesokan harinya daging diketuk dan dileraikan menjadi carikan halus, pada masa sama untuk mengasingkan lemak. Carikan daging kemudiannya dimasak bersama rempah-ratusnya selama lapan jam.

“Kami masih menggunakan cara tradisional iaitu meleraikan atau mencarikkan daging dengan tangan supaya gentian daging tidak rosak atau hancur.

“Proses ini penting bagi memastikan lemak tidak tercampur dalam serunding kerana ia bukan sahaja menyebabkan serunding tidak dapat disimpan lama malah mengurangkan rasa tekstur daging dan kualiti serunding,” katanya sambil menambah bahawa tempoh jangka hayat Waniez Serunding boleh menjangkau lebih tiga bulan.

Selain itu, proses penyediaan lain termasuk rempah-ratus, cili kering, santan kelapa, bawang merah, bawang putih, garam, gula dan beberapa bahan lagi.

“Keluarga ada mencadangkan penggunaan mesin untuk proses menghiris bawang tetapi, tapi walaupun cara manual memakan masa, ia mengekalkan aroma asli serunding,” katanya.

Ruhayawani masih menggunakan dapur kayu untuk merebus dan memasak perencah serundingnya di dalam kawah kerana beliau yakin penggunaan dapur kayu boleh menerbitkan aroma masakan yang berbeza berbanding menggunakan dapur gas. Bagaimanapun, beliau menggunakan dapur gas pada peringkat akhir untuk mengeringkan masakan serunding itu.

Menurut beliau, ramai pelajar yang melanjutkan pelajaran di luar negara seperti Brunei, Australia, dan Mesir datang membeli serunding dalam kualiti yang banyak sebagai bekalan ketika di sana.

KEKALKAN RESIPI LAMA


Ruhayawani berkata, biarpun ramai yang membuat serunding di kampung itu, beliau akan terus mengusahakan perniagaan warisan keluarganya itu, malah ingin mengembangkannya lagi.

“Saya tidak kisah walaupun ramai pengusaha serunding di sini, kerana rezeki Allah yang tetapkan dan saya masih kekalkan resepi dan cara lama,” katanya sambil menyambung bahawa kilangnya itu dilengkapi lapan buah kawah, masing-masing dengan kapasiti 45 kg serunding pada satu-satu masa.

Beliau tidak pernah dapat menyimpan stok kerana permintaan pelanggan yang berterusan, baik yang di hantar ke Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, di kedai-kedai di Pengkalan Chepa mahu pun yang membeli terus daripadanya.

Proses penyediaan bahan dan rempah ratus untuk membuat serunding
Proses penyediaan bahan dan rempah-ratus untuk membuat serunding dilakukan secara manual dan tidak menggunakan mesin. Bawang akan dihiris untuk dijadikan perencah selain beberapa bahan yang lain lagi.Walaupun cara manual memakan masa, ia mengekalkan aroma asli serunding itu. – BERNAMA

Pelanggan tetap, Noriah Hassan, 48, berkata, “Serunding ini kena dengan selera kami sekeluarga. Setiap Ramadan saya akan beli dalam kuantiti yang banyak untuk hidangan hari raya selain membuat kuih,” katanya ketika ditemui ketika membeli serunding di kilang Waniez Serunding.

DESTINASI PELANCONG

Satu lagi jenama terkenal di Kampung Laut di mana terdapatnya lebih 100 pegusaha serunding itu adalah Serunding Ramlah Salleh (RS) yang diuruskan oleh Mohd Farhan Ramli, 34.

Beliau mengambil alih perniagaan itu setelah ibunya Ramlah Salleh yang merupakan pengasas Serunding Ramlah Salleh (RS), meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Arwah ibunya adalah generasi kedua mengusahakan perniagaan yang kini menjangkau lebih 40 tahun, antara yang paling lama di kampung itu.

Seperti juga kilang-kilang serunding lain, kilang itu juga mengeluarkan serunding daging (daging tempatan dan import), serunding ikan dan serunding ayam.

Mempunyai kilang yang agak besar, sebanyak 12 buah kawah boleh digunakan pada satu-satu masa. Jika permintaan tinggi, serunding akan dimasak beberapa pusingan bagi memenuhi permintaan pelanggan serta untuk dipasarkan di kedai-kedai dan pasar-pasar di sekitar Kota Bharu.

Sementara itu Rosnah Jalil, 54 yang merupakan penjual dan pemborong serunding di Pasar Siti Khadijah memberitahu bahawa beliau mengambil serunding daripada ramai pengusaha dengan pelbagai jenis jenama, tidak sahaja dari Kampung Laut.

Beliau memborong kira-kira 20 kg serunding setiap hari pada hari-hari biasa, namun menambah bekalan sehingga mencecah 50 kg ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

“Pada musim perayaan permintaan untuk serunding meningkat terutamanya daging dan ikan. Musim cuti sekolah pula, ramai yang balik kampung selain pelancong yang datang sini,” tambah beliau.

Kampung Laut yang terkenal dengan pembuatan serunding sejak puluhan tahun dahulu, juga popular dengan produk dodol serta beberapa kuih tradisional, kini merupakan salah satu destinasi tumpuan pelancong di negeri Kelantan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini