ISKANDAR PUTERI – Pemaju hartanah, UEM Sunrise Bhd. (UEM Sunrise) memperuntukkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM8.4 bilion bagi pembangunan projek di Durban, Afrika Selatan dalam usaha mengembangkan segmen hartanah luar negaranya.
UEM Sunrise mempunyai pemilikan secara usaha sama bagi sebuah tanah pembangunan bercampur berhadapan pantai dengan keluasan 12.43 hektar di Durban.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pihaknya ketika ini sedang berbincang dengan rakan kerjasama berpotensi bagi melaksanakan projek pembangunan hartanah seperti kediaman, hotel dan komersial di sana.
“Kami akan bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi memastikan urusan pembangunan projek dapat dilaksanakan dengan lebih lancar kerana mereka lebih mahir dari segi ekosistem, selain mempunyai rangkaian dan pembekal tempatan.
“Syarikat menjangkakan dapat memuktamadkan berhubung rakan kerjasama berkenaan pada tahun ini.
“Selain itu, sebagai permulaan, UEM Sunrise merancang untuk membangunkan dua plot tanah di Durban dan sekiranya projek ini berjaya, kami menjangkakan nilai hartanah berkenaan akan meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena program lawatan media di beberapa projek pembangunan kediaman dan komersial UEM Sunrise di sini dan galeri jualan hartanahnya di Singapura baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Pemasarannya, Kenny Wong Koon Keng dan Pengarah Selatan 2, Zamri Yusof.
Menurut Anwar, pihaknya yakin terhadap pasaran di Afrika Selatan selepas melihat kedudukan Durban yang strategik dan persekitaran ekonomi sekitar yang rancak.
“Terdapat banyak pengilang kenderaan jenama terkemuka seperti BMW, Toyota dan Lexus beroperasi di sana, justeru itu ia menunjukkan aktiviti ekonomi yang positif tersedia di Durban.
“Malah, Durban adalah pelabuhan kargo terbesar di Afrika Selatan dan salah satu daripada pelabuhan paling sibuk, malah hartanah milik kami terletak berdekatan dengan pelabuhan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, meskipun pasaran Australia ketika ini agak lemah, UEM Sunrise melihat perkara tersebut sebagai peluang untuk mengembangkan pemilikan tanah yang berpotensi di negara berkenaan.
“Sebagai langkah strategik masa hadapan, syarikat akan tetap membangunkan projek kediaman khususnya bangunan bertingkat yang akan memberi fokus kepada pelanggan tempatan di Australia dengan tawaran harga lebih rendah,” ujarnya.











