LONDON 22 April – Ole Gunnar Solskjaer yakin dia akan berjaya di Manchester United dan pada masa sama mengakui terdapat beberapa pemain tidak berpeluang untuk melihat perkara itu.
United mengalami detik memalukan di Goodison Park selepas tewas 0-4 kepada Everton dan ia merupakan kekalahan kelima di tempat lawan dalam semua pertandingan serta keputusan paling memalukan sejak Mac 1981.
Kekalahan itu meranapkan impian The Red Devils untuk berada dalam kelompok empat teratas dan mereka tidak boleh kehilangan mata ketika berdepan Manchester City dan Chelsea selepas ini.
Richarlison dan Gylfi Sigurdsson menjaringkan gol pada separuh masa pertama manakala Lucas Digne dan Theo Walcott memastikan kejayaan Everton untuk membolehkan mereka berada di kedudukan ketujuh.
Bagaimanapun, Solskjaer berang ketika ditanya sama ada pemain cukup bersungguh-sungguh beraksi buat pasukan United dalam perlawanan itu.
“Saya tidak tahu. Awak tanya mereka sendiri. Awak tidak akan dapat jawapan daripada saya. Sudah pasti, jika awak mahu bermain untuk kelab ini, awak perlu beraksi lebih baik daripada ini.
“Saya mahu pasukan saya menjadi pasukan yang paling bekerja keras dalam liga ini. Itu adalah pasukan semasa di bawah kendalian Sir Alex Feguson dan ia akan kekal seperti itu.
“Giggsy (Ryan Giggs), Becks (David Beckham), Gary Neville, Dennis Irwin atau siapa sahaja. Walaupun awak ada bakat awak perlu bekerja keras lebih daripada orang lain. Awak perlu bekerja keras di atas padang untuk rakan sepasukan.
“Kami perlu bergerak sebagai pasukan. Kami tidak boleh ubah pasukan sekelip mata tetapi secara berperingkat.
“Saya akan berjaya di sini dan ada pemain tidak akan bersama kami sebagai sebuah pasukan yang berjaya selepas ini,” katanya.-AGENSI











