KUALA LUMPUR – Pemansuhan tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuat sebagai langkah penstrukturan semula beberapa jabatan dalam pasukan keselamatan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, proses pertukaran tersebut membabitkan pegawai juga anggota di tiga pasukan khas berkenaan dan telah memasuki 60 peratus serta dijangka lengkap dalam masa terdekat.
“Ya, saya sahkan tiada lagi tiga pasukan khas seperti Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dalam PDRM,” katanya.
Semalam akhbar melaporkan mengenai proses pertukaran dan penempatan semula pegawai serta anggota tiga pasukan tersebut yang giat dilakukan PDRM.
Turut tular, satu klip video berdurasi 30 saat memaparkan rakaman majlis perpisahan pasukan Stafoc yang mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial.
Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun laman sosial Twitter nya berharap agar warga PDRM tidak kecewa dengan pembubaran tiga pasukan khas tersebut.
“Sebenarnya mereka yang membubarkannya (pasukan khas berkenaan) tidak tahu keberkesanan unit-unit ini. Teruskan perjuangan walau di unit mana juga saudara saudari ditugaskan.
“Jasa-jasa saudara dan saudari akan tetap dikenang oleh masyarakat, khususnya mangsa-mangsa jenayah terancang. Tugas murni ini mesti diteruskan demi agama, bangsa dan negara!,” katanya. – K! ONLINE











