Rantau tidak terpinggir kalau pilih pembangkang - Utusan Malaysia

Rantau tidak terpinggir kalau pilih pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU 7 April – Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penduduk di Rantau tidak sepatutnya terpinggir sekiranya memilih wakil rakyat dari parti pembangkang.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu memberitahu, ini kerana kerajaan yang telah ditubuhkan melalui pilihan raya perlu berkhidmat kepada seluruh rakyat.

“Saya tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa rakyat di Rantau akan terpinggir daripada pembangunan, sekiranya memilih wakil rakyat daripada parti pembangkang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan ditubuhkan untuk rakyat dan bukan kerajaan hanya untuk Pakatan Harapan (PH) semata-mata,” katanya dalam sidang akhbar di Rantau dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin PH dalam kempen PRK itu yang meminta rakyat memilih PH bagi membolehkan pembangunan dinikmati mereka.

Jelas Mohamad, semasa pentadbiran BN, semua pihak mendapat perhatian daripada kerajaan termasuk di kawasan yang diwakili pembangkang.

“Kita boleh lihat kawasan pembangkang seperti Rasah dan Seremban apabila kerajaan tetap beri perhatian dengan melaksanakan pembangunan dan menyelesaikan masalah rakyat di situ.

“Begitu juga di negeri pembangkang seperti Kelantan dan Pulau Pinang, kita boleh lihat kerajaan melaksanakan pembangunan antaranya projek pembesaran lapangan terbang di Pulau Pinang,” ujarnya.

Apa yang penting, tambahnya, kerajaan mesti ditadbir dengan baik dan adil supaya semua pihak mendapat faedah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini