REMBAU – Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau diseru supaya mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram pada 13 April ini bagi menyelamatkan Malaysia.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming berkata, pengundi DUN Rantau perlu memilih calon PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu supaya Malaysia dapat mara ke hadapan.
“Marilah kita bersama dengan semangat baru berat sama dipikul, ringan sama dijinjing bersatu kita selamatkan Malaysia,” katanya pada ceramah umum PH sempena PRK DUN Rantau dekat sini malam tadi.
Terdahulu, Kor Ming yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat memuji PH kerana meletakkan calon India dalam PRK DUN Rantau.
Menurutnya, PH sedar peluang untuk menang lebih cerah jika menampilkan calon Melayu, tetapi meletakkan calon bukan Melayu kerana itu yang rakyat Malaysia mahu iaitu politik matang.
Jelas beliau, Malaysia Baharu tidak bermain dengan politik fahaman sempit dan ekstremisme seperti Barisan Nasional (BN).
“Pastikan Streram muncul sebagai wakil rakyat Rantau. Kemenangan dia adalah kemenangan rakyat, kemenangan Malaysia Baharu,” katanya. – K! ONLINE











