Pesara Perkeso tuntut bayaran sagu hati - Utusan Malaysia

Pesara Perkeso tuntut bayaran sagu hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 April – lebih 200 pesara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam lingkungan umur 65 hingga 75 tahun hari ini mengadakan perhimpunan aman bagi menuntut keadilan dalam isu pemberian Saguhati Tamat Perkhidmatan (STP).

Presiden Persatuan Pesara Perkeso, Mohd. Noor Abdullah berkata, tindakan pengurusan Perkeso yang menetapkan bahawa hanya kakitangan yang bersara sebelum 1 Januari 2017 berhak mendapat STP adalah sangat kejam malah tidak menghargai jasa ‘orang-orang lama’ yang mengasaskan pertubuhan itu.

Katanya, isu itu timbul berikutan keputusan kerajaan pada 25 Mac 2013 bagi pemberian insentif STP kepada semua pesara Badan Berkanun Diasingkan Saraan (BBDS).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada mulanya pengurusan Perkeso tidak mematuhi panduan yang JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) sediakan berkaitan kaedah pengiraan dan lain-lain sebaliknya menggunakan formula sendiri serta tetapkan pelaksanaanya hanya bagi kakitangan Perkeso yang bersara selepas tarikh pengumuman sahaja.

“Semasa majlis penyerahan cek pemberian bayaran STP, Ketua Eksekutif maklum bahawa pengurusan Perkeso akan cadang penambahbaikan kepada formula perkiraan bayaran STP dan beri jaminan bahawa sekiranya cadangan penambahbaikan itu diluluskan ia akan dipanjangkan kepada semua pesara.

“Sebaliknya apabila cadangan penambahbaikan itu diluluskan mengikut formula baharu, ia hanya berkuat kuasa terhadap kakitangan Perkeso yang bersara pada dan selepas 1 Januari 2017 sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan aman itu di sini hari ini.

Bagi menjawab isu itu, pihak Perkeso telah mengadakan sidang akhbar tergempar yang dikendalikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (korporat) Perkeso, Datin Azlaily Abd. Rahman.

Azlaily berkata, pihaknya menafikan wujudnya jaminan atau janji bahawa STP akan dipanjangkan kepada semua pesara yang telah bersara selepas 1 Januari 2017.

“Ini adalah keputusan Lembaga Perkeso dan kita tidak akan berpatah balik kerana ia tidak adil kepada semua yang lain. Malah kita sudah hantar surat kepada mereka pada 22 Januari lalu bahawa kita telah tolak rayuan mereka.

“Walau bagaimanapun, sekiranya Persatuan Pesara Perkeso masih tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, mereka bolehlah memgambil tindakan undang-undang terhadap pertubuhan ini sebagai menghormati hak mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini