KUALA LUMPUR 27 April – Seorang lelaki dari Jalan Puncak Borneo, Sarawak ditangkap kerana disyaki menganjur perjudian ‘holo’ di sebuah rumah di Kampung Serikin, Sarawak dalam satu serbuan kira-kira pukul 3.30 petang, semalam.
Menurut portal Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintenden Poge Nyaon berkata, suspek ditangkap bersama tiga lagi lelaki juga berasal dari kampung yang sama berusia lingkungan 27 hingga 46 tahun.
Menurutnya, serbuan tersebut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bau hasil daripada risikan dan maklumat awam.
“Semasa serbuan dijalankan, didapati seorang lelaki sedang duduk dipercayai penganjur permainan judi jenis Holo telah ditahan bersama tiga lagi lelaki yang turut berada di lokasi kejadian.
“Polis turut merampas peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian tersebut yang antaranya kain tertera gambar udang, harimau, labu, ikan, ketam dan ayam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua suspek dan barang-barang yang dirampas kemudian dibawa ke IPD Bau untuk tindakan selanjutnya dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN ONLINE











