Elit bandar tidak banyak terjejas - Utusan Malaysia

Elit bandar tidak banyak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 April – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) banyak memberi tumpuan kepada kelompok masyarakat sivil atau elit bandar yang tidak banyak terjejas dengan perkembangan ekonomi semasa berbanding golongan berpendapatan rendah B40 atau golongan luar bandar.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Ahmad Yaacob berkata, kebanyakan golongan B40 tidak mempunyai pendidikan tinggi dan hanya berpendapatan rendah serta mereka inilah yang sebenarnya perlu disasarkan oleh kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu memperbaiki taraf hidup mereka ini dengan memperbaiki kos sara hidup.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Suara-suara mereka ini (B40) tidak didengari. Pandangan-pandangan mereka ini tidak sampai ke atas kerana mereka ini tidak mempunyai satu platform. Mereka tidak tahu bagaimana untuk menyampaikan idea atau rintihan mereka sendiri melainkan ada satu platform iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau melalui kepemimpinan mereka untuk disampaikan ke peringkat atas.

“Tetapi, pada hakikatnya, kerajaan yang berada di peringkat Persekutuan atau negeri tidak mendapat suasana jelas tentang apa perlu diperbaiki,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap kerajaan PH adalah kerana parti pemerintah itu terlalu ‘tunduk’ kepada cita rasa golongan elit bandar dan gerakan sivil,

Memetik laporan Channel News Asia, Anwar berkata, kerajaan PH sepatutnya juga menumpukan isu-isu asas yang dekat dengan orang Melayu luar bandar seperti kejatuhan harga komoditi.

Tambah Raja Ahmad Iskandar, elit bandar hanya mementingkan institusi dan menekan keperluan hak-hak asasi selain perlu mendapat institusi-institusi tertentu.

Katanya, mereka ini hanya menekankan kepada perkara yang besar dan bukan perkara asas iaitu berbalik kepada kos sara hidup.

“Umpamanya masalah ekonomi. Apabila sebut pasal ekonomi dan sara hidup, elit bandar ini sebenarnya tidak banyak terjejas. Mereka tidak terjejas terhadap masalah ekonomi dan kos sara hidup kerana kebanyakannya tinggal di bandar.

“Oleh sebab itu, saya rasa kumpulan elit bandar ini mengambil kesempatan atau kebanyakan pandangan mereka hanya mahukan perubahan tertentu, tetapi, sebenarnya perubahan ini lebih berkisar kepada hak asasi reformasi institusi reformasi pengurusan dan lain-lain,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini