LONDON 22 April – David de Gea memohon maaf kepada penyokong di atas aksi memalukan Manchester United selepas mereka tewas 0-4 kepada Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam.
De Gea memulakan perlawanan di Goodison Park selaku kapten tetapi The Red Devils ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama hasil jaringan Richarlison dan Gylfi Sigurdsson dengan ramai mempersoalkan reaksi pemain Sepanyol itu ketika dibocori buat kali kedua.
Pemain gantian, Ashley Young mengambil tugasan selaku kapten pada separuh masa kedua namun tiada sebarang perubahan berlaku sebaliknya Everton berjaya meraih dua lagi gol menerusi Lucas Digne dan Theo Walcott.
Ole Gunnar Solskjaer kemudiannya memohon maaf kepada penyokong United yang hadir selepas tamat perlawanan dan De Gea turut mengambil tindakan sama dia atas persembahan buruk pasukan itu.
“Tiada perkataan untuk saya gambarkan keadaan hari ini.
“Sebagai kapten, saya hanya boleh katakan ialah keputusan hari ini bukan sesuatu yang dijangka apabila kami menyarung jersi ini.
“Kami tahu kami perlu menjadi lebih baik, kami perlu berikan segalanya kepada pasukan. Terima kasih kepada sokongan semua,” kata De Gea.-AGENSI











