Dana SRC: UMNO Pulau Pinang akui terima RM1 juta - Utusan Malaysia

Dana SRC: UMNO Pulau Pinang akui terima RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Saksi ke-13 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini sebentar bahawa UMNO Pulau Pinang mengakui telah menerima sebanyak RM1 juta daripada Ibu Pejabat UMNO Malaysia pada 26 Februari 2015.

Ahmad Sahar Shuib, 56, yang merupakan Setiausaha Eksekutif UMNO Bahagian Pulau Pinang berkata wang itu diperoleh selepas pihaknya menulis surat bagi memohon sumbangan RM2 juta daripada parti.

“Surat permohonan yang dikemukakan adalah melalui tandatangan Allahyarham Datuk Seri Zainal Abidin Osman selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang pada masa itu,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian selepas ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada hari ketujuh perbicaraan kes Najib atas tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. RM42 juta di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di sini hari ini.

Ditanya, siapakah yang menyediakan surat pernohonan tersebut, saksi itu menjawab beliau akan menyediakan draf sebelum ia diserahkan kepada Zainal.

Ujar beliau, sekiranya terdapat pembetulan pada surat itu, Zainal akan membetulkan yang kemudian dicetak dan serahkan kepada Datuk Seri Najib Razak iaitu Presiden UMNO pada masa itu.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdulllah yang mewakili Najib, adakah menjadi kebiasaan UMNO Pulau Pinang meminta sumbangan, saksi itu menjawab “Ya.

Ahmad Sahar memaklumkan bahawa, sumbangan itu dipohon, kerana UMNO Pulau Pinang tidak mempunyai sumber lain dan hanya bergantung kepada ibu pejabat UMNO Malaysia.

Pada perbicaraan itu, ketika ditanya apakah yang digunakan dengan RM1 juta seperti yang dipohon, saksi itu berkata ia digunakan untuk beberapa pembayaran dan program.

“Antaranya ialah pembayaran gaji kakitangan termasuk wang itu di salurkan kepada program kebajikan seperti bantuan kepada mangsa bencana dan anak yatim,” ujarnya yang turut mengatakan wang itu untuk diberikan kepada pelajar cemerlang.

Tambahnya, dari segi kegamaan pula wang itu juga digunakan untuk program-program masjid selain program-program agama pada bulan Ramadan.

Perbicaraan bersambung lagi petang ini.

Pasukan pendakwaan diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas, Datuk Sulaiman Abdullah, Datuk V. Sithambaran, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Donald Joseph Franklin, Datuk Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Manoj Kurup, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Pasukan pembelaan pula diwakili Muhammad Shafee, Harvinderjit Singh Muhammad Farhan Shafee, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Shafee Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini