9 Julai perbicaraan rayuan penyokong kumpulan militan, pengeboman kelab malam - Utusan Malaysia

9 Julai perbicaraan rayuan penyokong kumpulan militan, pengeboman kelab malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 29 April – Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh perbicaraan rayuan dua lelaki atas hukuman 25 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan menyokong kumpulan militan Daesh dan pengeboman kelab malam Movida di Puchong, empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Datuk Kamardin Hashim yang bersidang bersama Datuk Yaacob Md. Sam dan Datuk Hasnah Mohamed Hashim setelah kedua-dua perayu hadir tanpa diwakili oleh peguam masing-masing.

Kedua-dua perayu memberitahu mahkamah yang mereka masih mencari peguam dan mahu meneruskan rayuan bersabit hukuman dikenakan ke atas mereka.

“Baru nak cari peguam,” beritahu Imam Wahyudin Karjono, seorang daripada perayu kepada mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 2017, menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 25 tahun terhadap Imam Wahyudin Karjono, seorang penganggur dan Jonius Ondie @ Jahali, operator kilang kerana melakukan perbuatan pengganas dengan mengebom sebuah pusat hiburan di Puchong sehingga menyebabkan lapan cedera pada Jun 2016.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah.

Menurut laporan, berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh telah membuat rancangan untuk mengebom mana-mana kelab malam atau pub bagi menyokong kumpulan pengganas dan mereka telah mendapatkan dua butir bom tangan yang diperoleh di kawasan Rawat dan Rehat Sri Kembangan, Selangor.

Pada malam 27 Jun 2016, tertuduh bersama dua lagi individu telah mengenal pasti sebuah kelab iaitu kelab malam Pitbull di Puchong untuk dibom namun kelab malam itu telah ditutup menyebabkan mereka menukar sasaran kepada kelab malam Movida.

Keesokannya pada 2 pagi, 28 Jun mereka yang menaiki motosikal telah membaling sebutir bom tangan ke arah hadapan kelab itu sebelum melarikan diri dan menyebabkan kecederaan terhadap lapan individu yang berada di premis berkenaan.

Pada 25 Julai 2016, di Mahkamah Petaling Jaya, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan pengganas dengan cara membaling dan meletupkan bom tangan yang menggunakan fius lever jenis ‘Fuze M213’ sehingga menyebabkan kecederaan terhadap lapan orang.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan mereka dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi dan dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Malaysia.

Mereka melakukan kesalahan tersebut di pusat hiburan Movida Boulevard Sdn Bhd, Lot G2 & G3, Tingkat Bawah, IOI Boulevard, Jalan Kenari 5, Bandar Puchong Jaya, Puchong, pada 2 pagi, 28 Jun 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130C (1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Mereka turut didakwa menyokong kumpulan pengganas dengan cara bersumpah setia (berbai’ah) melalui aplikasi Telegram di dalam kumpulan perbualan ‘gagak hitam’ di dalam telefon bimbit pada 30 Mac dan 15 Jun 2016.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun atau dengan denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk kesalahan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×