BERUAS 12 Mac – Dua tahun lalu, keputusan Nurul Tasnim Pauzi, 20, untuk menyambung pengajian di tingkatan enam tidak diterima dengan baik sehingga ada yang mempersoalkan tindakannya itu.
Bagaimanapun, anak kepada pasangan guru besar dan jururawat itu nekad dan yakin sehingga tidak mahu berganjak dengan keputusan yang diambil.
Hari ini, keputusannya menolak tawaran ke matrikulasi akhirnya berbaloi apabila berjaya memperoleh keputusan 2A 2A- dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 yang diumumkan semalam.
“Ada yang marah apabila saya tolak tawaran ke matrikulasi, namun saya jadikan ia sebagai pembakar semangat dan cabaran.
“Saya mahu buktikan yang potensi pelajar STPM juga sama luas seperti lulusan peringkat lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan keputusan STPM 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad Boestamam, Sitiawan di sini semalam.
Berkongsi mengenai rahsia kejayaannya, anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, tiada apa istimewa yang diamalkan selain memberi tumpuan semasa sesi pembelajaran.
Nurul Tasnim yang bercita-cita menjadi seorang guru seperti bapanya berkata, dia juga kerap mengulang kaji secara berkumpulan bersama empat rakan baiknya sekurang-kurangnya dua jam setiap hari yang mana dia bertindak sebagai guru selain memperuntukkan masa dua jam di rumah untuk belajar.
“Saya bersyukur dan gembira dengan keputusan yang diperoleh ini. Ia adalah berkat doa, sokongan keluarga serta guru. Saya dedikasikan kejayaan ini untuk semua pihak yang banyak membantu.
“Saya juga berterima kasih kepada ibu bapa yang tidak pernah membantah sebaliknya sentiasa menyokong keputusan saya memilih untuk mengambil STPM,” katanya.











