MANCHESTER – Spekulasi masa depan Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford terus bertiup kencang selepas pengendali sementara Manchester United itu mengesahkan dia kini tidak lagi terikat secara kontrak dengan bekas pasukannya di Norway, Molde FK.
Solskjaer, 46, dilantik buat sementara waktu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan bekas pengurus United, Jose Mourinho yang dipecat pada Disember tahun lalu dan dia pada mulanya akan kembali meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih Molde sebaik saingan Liga Perdana England (EPL) musim ini tamat pada Mei depan.
Ketua Eksekutif Molde, Oystein Neerland tidak mempunyai masalah untuk ‘meminjamkan’ Solskjaer kepada United buat sementara waktu berdasarkan perjanjian asal tersebut.
Bagaimanapun, Solskjaer yang pernah beraksi sebagai penyerang United dari 1996 hingga 2007, seolah-olah tidak lagi berminat untuk kembali ke Molde dengan harapan ditawarkan kontrak sebagai pengurus tetap di Old Trafford selepas ini.
“Saya tidak tahu bagaimana ia berlaku. Saya rasa ia (kontrak) sudah tamat dan sekarang saya ada kontrak dengan Manchester United. Mungkin saya memerlukan kontrak baharu di sana (Molde),” kata Solskjaer.
Menurut Persatuan Media Sukan England (PA), kepulangan semula Solskjaer ke Norway akan bergantung kepada Molde dan dirinya sendiri sebaik tamat kontrak sebagai pengendali sementara United hujung musim ini.
Ini kerana seseorang pengurus tidak dibenarkan mempunyai dua kontrak dengan dua pasukan berbeza pada waktu yang sama.
Ia bermakna Solskjaer kini sudah tidak lagi terikat dengan Molde selepas me-nerima tugas di Old Trafford walaupun beberapa minggu sebelum itu dia menandatangani lanjutan kontrak selama tiga tahun bersama naib juara Liga Norway tersebut. – Agensi











