LONDON 20 Mac – Kapten Scotland, Andy Robertson tidak dapat beraksi dalam saingan pembukaan kelayakan Euro 2020 di Kazakhstan, esok, demikian pengumuman daripada badan induk bola sepak negara berkenaan.
Pemain pertahanan Liverpool itu terpaksa menjalani pembedahan abses di bahagian mulutnya dan pasukan perubatan Scotland berharap pemain berkenaan dapat kembali menyertai skuad untuk aksi seterusnya di San Marino pada Ahad.
Pemain pertahanan Celtic, Kieran Tierney bakal menjadi pengganti Robertson ketika aksi pertama Scotland memburu kelayakan Euro kali ini.
Dalam kempen kelayakan tersebut Scotland diundi bersama Kazakhstan, San Marino, Cyprus, Belgium dan Rusia.
Hanya dua pasukan terbaik peringkat kumpulan akan meraih tempat dalam kejohanan berprestij berkenaan. – AGENSI











