SAUDARA PENGARANG,
SAYA terpanggil untuk menulis surat ini kerana beberapa hari lepas telah tular satu video yang memaparkan satu kejadian dipercayai berlaku di Taman Sri Tanjung Rambutan, di mana beberapa orang budak telah menganiaya seekor kucing jalanan dengan menyepaknya beberapa kali.
Laporan polis telah pun dibuat menerusi e-mel disertakan bersama dua klip video tersebut. Saya telah mendapat maklum balas daripada pihak polis agar perlakuan jenayah tersebut dilaporkan ke balai polis yang berhampiran.
Saya ingin menyeru kepada badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan haiwan lain serta individu yang menyayangi haiwan supaya tampil membuat laporan polis.
Di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 di mana Seksyen 29 menyatakan adalah menjadi satu kesalahan memukul haiwan. Pelaku kekejaman itu akan didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara untuk tempoh tidak lebih dari tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.
Selaku pengasas serta setiausaha kepada Persatuan Felin-Kanal ‘Strayz Kingdom’, saya ingin menyeru pihak berkuasa agar menahan dan mendakwa individu tidak bertanggungjawab tersebut yang nyata melakukan jenayah.
Siri Criminal Minds memaparkan sepasukan FBI yang ditugaskan untuk memburu pembunuh bersiri. Secara psikologinya, pembunuh bersiri yang membunuh manusia sebenarnya bermula dengan eksperimen kecil-kecilan seperti menyeksa dan membunuh haiwan kecil.
Apabila perasaan seronok mereka sudah hilang dan membunuh haiwan kecil sudah tidak mampu menghilangkan ketagihan tersebut, mereka akan mula beralih kepada makhluk yang lebih besar iaitu manusia.
Pihak berkuasa juga tidak patut melakukan penangkapan dan pelupusan haiwan jalanan kerana ia tidak berkesan dalam mengurangkan populasi haiwan gelandangan.
Satu kajian bersumberkan kepada Care Feline Rescue, Inc. di luar negara mendapati bahawa kucing baharu akan mengambil tempat kucing yang telah ditangkap dan dibunuh oleh pihak berkuasa.
Oleh yang demikian kucing yang tidak dimandulkan akan membiak dengan banyaknya di kawasan tersebut.
Sepatutnya pihak berkuasa tempatan (PBT), NGO-NGO haiwan dan pusat perlindungan haiwan bekerjasama dalam usaha menangkap dan memandulkan haiwan jalanan sebelum dilepaskan balik ke tempat mereka.
Pihak kerajaan Malaysia pula yang merupakan sebuah negara Islam patut mencontohi negara Turki mereka lebih prihatin dalam soal kebajikan haiwan jalanan seperti kucing dan anjing.
Anjing-anjing jalanan di Turki ditangkap, dimandikan, dimandulkan, ditag selain dipastikan mereka divaksin.
Pemimpin dan rakyat Turki adalah bangsa yang bertamadun yang tidak merasa jijik atau geli bila melihat anjing jalanan.
Rakyat Malaysia rata-rata masih lagi mempunyai sikap tidak bertamadun yang suka menyeksa haiwan jalanan seperti kes kucing yang dipotong kaki kerana mengambil ikan, malah ada juga yang diracun sehingga mati.
Masyarakat Malaysia hari ini masih ramai yang mempunyai sikap tidak acuh terhadap haiwan jalanan.
Jadi, pendidikan berterusan serta kempen kesedaran perlu dijalankan secara berkala kerana Malaysia ini hanya memiliki kemudahan kelas pertama, tetapi mentaliti rakyatnya kelas ketiga.
NADURA KAMARULZAMAN
Ampang











