JOHN Cena seperti sudah ‘berkerat rotan berpatah arang’! Namun, bukan dengan ahli gusti profesional lelaki World Wrestling Entertainment (WWE) yang menjadi seterunya seperti Brock Lesnar, Daniel Bryan dan AJ Styles, tetapi kali ini dengan wanita.
Dia kecundang dalam arena perkahwinan dengan rakan sekolej, Elizabeth Huberdeau pada 2012 dan tahun lepas, bekas juara heavyweight dunia serta WWE 16 kali itu terkandas dalam percintaan ketika sebulan lagi mahu mengahwini Nikki Bella.
Tali pertunangan dengan bekas juara diva WWE itu terputus tahun lalu dan Cena atau nama sebenarnya, John Felix Anthony Cena Jr. kembali solo sedangkan wanita itu kini berpacaran dengan Artem Chigvintsev.
Kekasih baharu Nikki atau nama sebenarnya, Stephanie Nicole Garcia-Colace itu ialah seorang penari kelahiran Rusia dan mereka pernah bergandingan menyertai siri realiti TV, ‘Dancing With The Stars’ musim ke-25.
“Anda akan mengambil berat kepada orang yang bersama anda, lebih-lebih lagi kepada mereka yang setia. Jadi, setialah dengan orang yang ikhlas bersama anda dan hormatilah individu itu walaupun dia musuh atau pesaing anda,” kata Cena.
Kata-kata bintang filem ‘Bumblebee’ yang memiliki wajah mirip aktor Mark Wahlberg itu seolah-olah merujuk kepada Nikki yang mudah beralih hati atau lebih tepat mengkhianati hubungan mereka.
Namun, sumber rapat dengan kedua-dua bintang gusti WWE itu menyatakan, kehancuran hubungan mereka ada kaitannya dengan keengganan Cena mengambil serius hasrat Nikki untuk hidup berkeluarga dan menimang anak lebih awal.
Cena, 42, dikatakan mempunyai alasan kesihatan dan perlu menjalani pembedahan bagi mendapatkan zuriat apabila kerap menunda hasrat Nikki itu.
“Apabila anda berjaya dan buat sesuatu yang betul. Ada pula yang membenci, tetapi saya tahu saya buat perkara yang betul,” kata Nikki yang berpacaran selama enam tahun bersama Cena sejak bekas tunangannya itu bercerai dengan isterinya, Elizabeth.
Ada pihak menuding jari kepada Nikki sebagai punca robohnya mahligai Cena bersama Elizabeth yang hanya mampu bertahan kurang tiga tahun. Hubungan Nikki dan Artem juga dikatakan mendapat restu keluarga wanita itu. Mereka dilihat semakin bahagia terutama adik kembar Bella, Brie yang juga bintang WWE.
Namun, kesibukan Cena yang setiap tahun menjelajah ke seluruh dunia ekoran komitmennya terhadap program WWE turut meragut masa berkualiti rumah tangga Cena, sekali gus, telah mematangkan lelaki itu jika merancang untuk berkeluarga sekali lagi.
Kesibukannya tidak terhenti kepada kerjaya WWE semata-mata, malah, Cena yang gemar berseluar jeans paras lutut ketika bergusti turut laris sebagai bintang filem Hollywood. Antara filem lakonannya ialah ‘The Marine’ (2002), ‘12 Rounds’ (2009), ‘Legendary’ (2010), ‘Trainwreck’ (2015), ‘The Wall’ (2017), ‘Blockers’, ‘Bumblebee’ (2017) dan ‘Project X’ (2019).
Project X adalah filem kerjasamanya dengan bintang seni bela diri, Jackie Chan yang mendorong Cena berpindah sementara ke Yinchuan, China dari kediaman asal, Tampa, Florida, Amerika Syarikat bagi menjayakan filem tersebut.











