SHAH ALAM 25 Mac – Pasukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) E muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Datuk Bandar Shah Alam yang diadakan buat julung kali di sini, baru-baru ini.
Ketua Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pasukan yang diketuai Mohd. Hafizul Abd. Razak dan pemain-pemain lain, Hairul Hazizi Haizir, Asri Isa, serta Mohd. Hairi Haidzir itu menewaskan pasukan Majlis Amanah Rakyat (Mara) 21-18, 16-21 dan 21-17.
“MBSA E membawa pulang wang tunai RM4,000 manakala naib johan RM2,000. Kedua-dua pasukan juga menerima piala iringan dan medal.
“Tempat ketiga dan keempat dimenangi MBSA D dan WCT,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Shahrin memberitahu, sebanyak 32 regu menyertai kejohanan tersebut.
Menurutnya, kejohanan yang melibatkan pernyertaan dari seluruh negara itu merupakan platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu dan secara tidak langsung dapat melahirkan atlet-atlet berkualiti serta berdaya saing.
“Melalui program ini juga dapat mempromosikan MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang prihatin dan mengambil berat tentang aktiviti sukan dengan matlamat menjadikan Shah Alam sebagai Bandar Raya Sukan,” ujarnya.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd. Rashidi Ruslan. – UTUSAN ONLINE











