STROVOLOS, Cyprus 25 Mac – Roberto Martinez memuji aksi matang yang ditampilkan Belgium ketika menang 2-0 ke atas Cyprus dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 walaupun terpaksa beraksi di atas padang yang kurang selesa.
Belgium tidak berdepan masalah besar dengan Eden Hazard yang membuat penampilan ke-100 di peringkat antarabangsa memberi kelebihan pada awal permainan.
Michy Batshuayi menjadikan kedudukan 2-0 lapan minit kemudian sebelum terus beraksi dengan baik hingga tamat permainan.
Walaupun ramai menjangkakan Belgium akan menang dengan jumlah jaringan besar selepas mendahului dua gol selepas 18 minit, namun Martinez tetap gembira dengan keputusan itu.
“Perlawanan seperti ini sukar jika tidak bermula dengan baik kerana keadaan padang sangat kering.
“Kami bermula dengan baik, jentera serangan yang berkesan berjaya menghasilkan dua gol awal. Selepas rehat, kami mengawal permainan dan bermain secara matang.
“Enam mata maksimum adalah sesuatu yang baik untuk kerja keras kami tetapi perjalanan masih panjang.
“Selepas ini kami perlu fokus untuk perlawanan menentang Kazakhstan dan Rusia,” kata Martinez.-AGENSI











