KANGAR 25 Mac – Datuk Seri Ronald Kiandee yang mengambil keputusan keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dilihat lebih ‘gentleman’ sekiranya meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), tanpa perlu disuruh bertindak demikian.

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkata, pelantikan Pengerusi PAC dalam kalangan pemimpin pembangkang merupakan antara janji di dalam manisfesto Pakatan Harapan (PH) yang mudah untuk dilaksanakan tanpa melibatkan implikasi kewangan dan bukan menjadi isu besar.
Katanya yang juga Ketua Cabang PKR Kangar, apa yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengenai isu berkenaan sebelum ini sememangnya ada asas yang perlu diberikan perhatian.
“Ia bukan isu besar, tapi bagi saya apabila dia (Ronald) menyertai kerajaan, patutnya dia letak jawatan (Pengerusi PAC), nampak lebih gentleman,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Nurul Izzah meletakkan jawatan sebagai anggota PAC susulan isu kepemimpinan jawatankuasa itu.
Nurul Izzah dilaporkan telah meletakkan jawatan sebagai seorang daripada ahli PAC disebabkan tidak berpuas hati dengan pemilihan kepemimpinan PAC.
Isu mengenai jawatan PAC timbul apabila Ahli Parlimen Beluran itu menjadi salah seorang daripada wakil rakyat Sabah yang meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun semalam, Dr. Mahathir memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mencari calon yang sesuai bagi memegang jawatan tersebut.
PH sebelum ini berjanji supaya Pengerusi PAC akan dipilih dalam kalangan pemimpin parti pembangkang. – UTUSAN ONLINE











