PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesali sebarang tindakan kekasaran yang berlaku ke atas aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
Jabatan Pendidikan Tinggi KPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya percubaan untuk menyekat kebebasan pelajar bersuara.
Jelasnya, semua universiti awam telah mengupayakan para mahasiswa untuk bebas bersuara dan berpolitik seperti pembatalan Seksyen 15(2)(c) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30), Perenggan 47(2)(c) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan Perenggan 1 0(2)(c) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 pada Disember lalu.
“Perbezaan pendapat, ideologi dan pandangan tidak wajar dijadikan sebab untuk melakukan
kekasaran kepada sesiapa sahaja.
“Toleransi dan hormat-menghormati adalah budaya masyarakat majmuk di Malaysia yang tidak boleh digadaikan untuk kepentingan pihak tertentu,” katanya.
Menurut kenyataan itu, setiap mahasiswa merupakan anak-anak kita dan generasi masa hadapan yang perlu dipimpin untuk meneruskan nilai-nilai murni seperti sikap toleransi, bertolak-ansur serta saling memahami.
“Mereka perlu dididik untuk menyantuni serta meraikan perbezaan agar keharmonian dan keamanan yang telah terjalin sekian lama dapat diteruskan.
“Institusi pendidikan tinggi perlu memelihara pengupayaan mahasiswa demi memperkasakan kewibawaan pendidikan tinggi negara,” katanya. – K! ONLINE











