Guru pedalaman Kenya menang AS$1j - Utusan Malaysia

Guru pedalaman Kenya menang AS$1j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI 25 Mac – Seorang guru sains dari kawasan pedalaman di negara ini, yang sanggup memberikan sebahagian besar gajinya bagi membantu golo­ngan murid miskin, meraih Hadiah Guru Global.

Lapor BBC, guru berkenaan, Peter Tabichi turut dianuge­rahkan hadiah wang tunai seba­nyak AS$1 juta (RM4 juta).

Tabichi dipuji kerana pencapaiannya yang memberangsangkan meskipun terpaksa mengajar dalam keadaan kelas serba kekurangan dan buku teks terhad.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, berikutan capaian internet yang kurang baik, dia terpaksa berjalan jauh ke kafe siber untuk memuat turun sumber pembelajaran kelasnya.

Dia mahu anak muridnya melihat ‘sains sebagai jalan’ untuk masa depan mereka.

Tabichi dikatakan memberikan 80 peratus daripada gajinya untuk membantu murid-murid di Sekolah Menengah Campuran Harian Keriko di Kampung Pwani, Nakuru.

Murid-murid Tabichi keba­nyakannya datang daripada keluarga miskin dan tidak mampu membeli pakaian sekolah serta buku.

Selain itu, guru berusia 36 tahun itu mahu meningkatkan aspirasi dan mempromosikan sains, bukan sahaja di Kenya tetapi seluruh Afrika.

Selepas meraih anugerah tersebut, Tabichi memuji potensi golongan muda Afrika.

“Sebagai seorang guru yang bekerja di barisan depan, saya melihat potensi dalam diri golongan muda, ingin tahu mereka, bakat, kepintaran dan kepercayaan mereka.

“Golongan muda Afrika tidak akan berundur oleh harapan yang rendah. Afrika akan melahirkan saintis, jurutera, usahawan yang namanya akan ter­kenal suatu hari nanti di setiap pelosok dunia serta wanita akan menjadi sebahagian besar daripadanya,” jelas Tabichi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini