Emosi di sebalik pintu Al Noor - Utusan Malaysia

Emosi di sebalik pintu Al Noor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHRISTCHURCH 23 Mac – SEKITAR pukul 12.30 te­ngah hari ini (waktu tempatan), kumpulan pertama yang antara lain disertai Imam Gamal Fouda, dibenarkan memasuki Masjid Al Noor dekat sini, yang pertama kali dibuka selepas ditutup susulan serangan pengganas pada Jumaat lalu.

Pihak berkuasa menyerahkan masjid itu kepada komuniti Islam yang sebelum ini ditutup bagi melengkapkan siasatan.

Seorang wartawan Turki, Ali Mustafa yang dibenarkan memasuki masjid itu membe­ritahu Stuff New Zealand, suasana di dalam Al Noor penuh dengan emosi.
Seramai 41 orang terbunuh di masjid tersebut ketika pengganas kulit putih warga Australia, Brenton Tarrant, 28, melepaskan tembakan rambang manakala selebihnya meninggal dunia dalam serangan sama di Masjid Linwood yang terletak beberapa kilometer dari Al Noor dan seorang lagi di hospital.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas Ali, Gamal yang membacakan khutbah ketika solat Jumaat di Hagley Park dekat sini semalam, meletakkan bendera New Zealand pada badannya yang dilihat ada tompokan darah.
“Saya tidak tahu dari mana beliau mendapatkan bendera itu, mungkin di dalam masjid. Imam membacakan doa dan sempat mengulangi khutbah semalam bahawa keganasan serta kebencian, tiada tempatnya di negara ini,” katanya.

Mereka turut menunaikan solat buat pertama kali dan mendoakan kepada 50 mangsa yang terbunuh dalam serangan berpaksikan ketuanan kulit putih tersebut.
Sementara itu, Aden Diriye, bapa kepada Mucad Ibrahim, 3, yang terbunuh dalam sera­ngan tersebut memberitahu, dia datang ke masjid tersebut bersama rakan-rakannya sebaik sahaja dibuka semula.

“Saya sangat gembira. Allah SWT amat baik kepada kami. Saya kembali sebaik sahaja dibuka semula untuk menunaikan solat,” jelasnya.

KESEDIHAN YANG MENDALAM
Dalam perkembangan sama, Putera Mahkota Jordan, Putera El Hassan bin Talal turut meluangkan masa bertemu pe­mimpin komuniti Islam di Masjid Al Noor sebagai penghormatan kepada mangsa yang terbunuh.

“Ini adalah saat kesedihan yang mendalam bagi kita,” katanya.
Kira-kira 3,000 penduduk New Zealand menyertai ‘March for Love’ sebagai usaha memulihkan semangat warganya daripada tragedi berdarah itu.
Sambil membawa sepanduk tertulis, ‘Dia mahu memecah belah kita, sebaliknya kita menjadi lebih kuat’, ‘Muslim disambut, perkauman tidak’, dan ‘Kia Kaha’ dalam bahasa Maori yang bermaksud tetap tabah.

Peserta juga turut me­nyanyikan lagu tradisi Maori mengenai keamanan.
“Kami merasakan kebencian telah membawa banyak ke­gelapan dan masa begini, cinta adalah penawar yang paling kuat untuk menyinari bandar ini daripada kegelapan,” kata Manaia Butler, 16, yang merupakan salah seorang penganjur perarakan tersebut.

DUKA BERGANDA
Terdahulu, Mohammed Mashud, suami kepada mang­sa serangan tembakan, Sazada Akhter menceritakan kisah sedih mengenai nasib isterinya itu.
Jumaat lalu, Sazada terkena tembakan di bahagian abdomen dan dada.
Dia merupakan antara yang mengalami kecederaan serius serta telah menjalani beberapa pembedahan dan masih dirawat di Hospital Christ­church.
Namun menurut Mohammed, Sazada mungkin tidak akan dapat berjalan seperti biasa susulan kecederaan yang dialami.

“Doktor memaklumkan jika Sazada sembuh daripada kecederaan, dia mungkin memerlukan kerusi roda sepanjang hayatnya. Hayatnya, tidak pasti lagi. Tetapi jika dia sembuh, kakinya tidak dapat berfungsi lagi,” katanya.
Ketika mendapat berita me­ngenai nasib menimpa Sazada, ibu mentua Mohammed yang berada di Bangladesh diserang sakit jantung dan sehingga kini masih dirawat di hospital.
Dalam pada itu, polis mengesahkan seorang ibu, Suad Abdelfattah Mhaisen Adwan, 65, yang hadir ke majlis pengebumian anak lelakinya, Kamel Darwish, 38, meninggal dunia akibat serangan jantung. 

NZ Herald melaporkan, jurucakap Kedutaan Jordan di Sydney memaklumkan, Suad me­ninggal dunia akibat serangan jantung pagi ini dan jenazahnya akan dibawa pulang ke Jordan.
“Beliau tiba di Christ­church semalam untuk menghadiri pengebumian anaknya yang maut dalam serangan ber­kenaan. Namun, wanita itu meninggal dunia pagi ini ke­rana serangan jantung dan kesedihan terhadap pemergian anaknya,” jelas jurucakap itu.
Seorang lagi waris mangsa yang lain meninggal dunia akibat masalah kesihatan.

MANIFESTO TARRANT DIHARAMKAN
Dalam perkembangan lain, New Zealand secara rasmi mengklasifikasikan manifesto ketuanan kulit putih yang dipercayai ditulis oleh Tarrant sebagai bahan larangan dan diharamkan.
Ketua Penapisan di Klasifikasi Filem dan Sastera New Zealand, David Shanks mengesahkan perkara itu dan me­minta sesiapa yang mempunyai salinannya untuk memusnahkan bahan tersebut.

“Memilikinya adalah satu kesalahan kerana dokumen tersebut mempromosikan pembunuhan dan keganasan,” katanya. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini