KUALA LUMPUR 23 Mac – Seperti sedia maklum, selain bermain bola sepak, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah juga menjadikan sukan berbasikal sebagai hobi ketika masa lapang.
Tiga hari lalu, pelumba berusia 25 tahun itu menerusi Instragramnya, hafizh_syahrin memuat naik gambar ketika berada di Genting Highlands selepas berkayuh bersama skuad berbasikal negara antaranya pelumba kebangsaan, Sofian Nabil Omar yang turut serta dalam aktiviti tersebut.

“Alhamdulillah, baru selesai kayuhan mencabar bersama mereka. Saya ingin mengucapkan terima kasih banyak kepada jurulatih dan semua pelumba negara kerana membenarkan saya berlatih bersama anda dan mendaki gunung Genting Highlands.
“Ini adalah pengalaman pertama saya berkayuh ke Genting,” tulis Hafizh menerusi kapsyen gambarnya di papan tanda arah Genting Highlands.
Tambah Hafizh, hanya orang tertentu sahaja dibenarkan berkayuh ke Genting Highlands, dengan skuad kebangsaan adalah salah satu daripadanya.
“Bukan semua orang boleh dibenarkan mengayuh ke sini tanpa kebenaran, tetapi pasukan Malaysia, mereka dapat kebenaran untuk berlatih di sini bagi persediaan ke Le Tour de Langkawi (LTdL). Terima kasih sekali lagi kawan. Saya ucapkan dan berdoa semoga anda semua selamat maju jaya,” katanya.
Hafizh yang bakal beraksi dalam perlumbaan kedua Grand Prix (GP), musim ini, di Argentina membuat kayuhan sejauh 115 kilometer bermula dari Selayang, diikuti Genting Sempah, Ulu Yam, Gohtong Jaya hingga Genting Highlands.











