KUALA LUMPUR 20 Mac – Sudah ada pihak dari dalam dan luar negara yang menyatakan minat untuk membeli syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan membuat kajian sama ada Malaysia Airlines perlu dijual atau tidak.
“Ada pihak-pihak tertentu ingin membeli Malaysia Airlines, jadi kita tidak tolak, kita mahu kaji sama ada perlu jual ataupun tidak.
“Saya nampak bahawa pengurusan setakat ini, walaupun kita memilih pengurus dari luar, masih lagi mengalami kerugian, jadi satu daripada caranya adalah dengan menjual,” katanya.
Semalam, Penaung Persatuan Pekerja Bersara Malaysia Airlines Berhad (MASRA), Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman menggesa kerajaan mempertimbangkan usaha sama dengan pihak swasta sebagai cara menyelamatkan syarikat itu.
Tambahnya, dalam keadaan Malaysia Airlines yang kritikal kini, kerajaan perlu mengeluarkan kertas cadangan mengandungi cara-cara untuk menyelamatkan syarikat itu secepat mungkin dan bukan mengambil keputusan untuk menutupnya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir memberitahu, beliau maklum terdapat dalam kalangan bekas pekerja berminat untuk memberikan khidmat bagi menyelamatkan syarikat itu namun strategi yang dilakukan itu tidak menguntungkan.
“Umpamanya kerajaan memberikan RM6 bilion untuk menolong Malaysia Airlines, dengan itu pula pihak Malaysia Airlines telah menghentikan pekerja sebanyak 6,000 orang tetapi setelah itu tidak terbang seperti dahulu. Sudah hapuskan banyak penerbangan.
“Ini bermakna dari segi pengurangan kakitangan dan pengurangan kerja ada beza, kalau kita kurang pekerja tetapi kita kekalkan status yang lama barulah ada simpanan, kalau kurang pekerja, kurang kerja, tiada kelebihan,” jelas beliau.
Perdana Menteri bagaimanapun tidak menafikan rasa sayang beliau terhadap Malaysia Airlines.
“Saya sayang Malaysia Airlines, saya mahu ia dijadikan sebuah syarikat penerbangan nasional tetapi kita nampak seolah-olah kita tak mampu,” katanya.










