KUALA LUMPUR – Orang ramai yang ingin menyewakan kereta apabila ia tidak diperlukan untuk satu tempoh boleh memuat turun aplikasi Moovby.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Moovby, Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamil berkata, aplikasi yang menggunakan konsep Airbnb For Cars itu sekali gus memberi peluang bagi mereka yang tidak memiliki kereta untuk melakukan urusan harian masing-masing.
“Pemilik kereta dibayar untuk setiap perjalanan. Ia juga membantu menurunkan kos pemilikan kereta semakin meningkat yang mana ia merupakan beban isi rumah tertinggi di Malaysia.
“Bagi penyewa, Moovby melengkapi pengangkutan awam tradisional dan perkhidmatan perkongsian perjalanan yang inovatif seperti Grab dan MyCar, menjadikannya lebih mudah bagi mereka yang tidak mempunyai kereta.” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Nik Muhammad Amin berkata, perkhidmatan perkongsian kereta persendirian itu kini beroperasi di tujuh buah negeri.
Katanya, lebih daripada 2,000 warga Kuala Lumpur telah mendaftarkan kereta mereka dengan perkhidmatan perkongsian kereta tersebut.
“Di bandar-bandar di seluruh Malaysia, ratusan orang telah berkongsi kereta dengan orang-orang yang berdekatan. Menyewa kereta di Moovby adalah mudah.
“Ia memberi kuasa kepada pemilik kereta untuk berkongsi kenderaan mereka dengan selamat. Selain itu, Moovby juga digabungkan dengan Moovbip, teknologi kereta yang dibangunkan oleh kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Moovby, Mohd. Fareq Rizal Mohd. Fisal berkata, Moovby turut didatangkan dengan perlindungan insurans untuk setiap perjalanan,
“Penyewa boleh mencari kereta berdekatan dengan menggunakan aplikasi Moovby dan menempah kereta yang tersedia serta-merta tanpa menunggu kelulusan pemilik.
“Mereka hanya perlu cari dan buka kunci kereta menggunakan telefon mereka. Bagaimanapun, teknologi ini memerlukan sedikit penambahbaikan sebelum ia boleh dipasarkan secara besar-besaran,” katanya. – K! ONLINE










