TANJUNG MALIM – Seorang pemandu lori kontena maut manakala seorang anggota polis bantuan PLUSRonda parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 362.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6 pagi itu, mangsa, Hosnan Jambari, 59, maut di tempat kejadian manakala anggota polis bantuan, Wan Hamidi Wan Ibrahim, 39, mengalami pendarahan di perut selain patah kaki kiri.
Tiga individu lain pula mengalami kecederaan ringan termasuk seorang lagi anggota polis bantuan PLUSRonda berusia 27 tahun.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian, lori yang membawa muatan susu tepung dinaiki tiga lelaki itu disyaki mengalami kerosakan di bahagian enjin dan berhenti di lorong kecemasan.
“Dua anggota polis bantuan PLUSRonda yang dimaklumkan mengenai kerosakan itu telah datang ke lokasi kejadian untuk membantu dan memeriksa kenderaan berkenaan.
“Ketika kerja-kerja memeriksa lori itu dijalankan, sebuah lori kontena yang membawa muatan kepingan logam datang dari arah belakang dipercayai hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang lori itu lalu terbalik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Wan Kamarul Azran, akibat kemalangan tersebut, pemandu lori kontena berkenaan maut manakala empat yang lain cedera termasuk seorang anggota polis bantuan parah.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat dan empat mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan.
“Wan Hamidi yang mengalami kecederaan dalaman bagaimanapun dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, sampel darah pemandu lori kontena itu diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia di Ipoh untuk siasatan lanjut. – K! ONLINE











