Pasukan tarik tali MBSA juara di Parlimen Kapar - Utusan Malaysia

Pasukan tarik tali MBSA juara di Parlimen Kapar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 15 Feb. – Pasukan tarik tali Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka tirai tahun ini dengan muncul juara dan tempat ketiga Kejohanan Tarik Tali Tertutup Parlimen Kapar.

Ketua Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kejayaan di Padang Awam Batu 8, Bukit Kapar, Klang membuktikan pasukan tersebut konsisten dalam sukan itu setelah merangkul gelaran juara dalam pelbagai kejohanan pada tahun lepas.

“Kejohanan ini dianjurkan Pejabat Ahli Parlimen Kapar yang menampilkan sebanyak 10 pasukan.

“Pasukan MBSA A berjaya mara ke pusingan separuh akhir dengan menewaskan MBSA B. Pada perlawanan akhir, MBSA A berjaya menewaskan JDPutra manakala MBSA B menewaskan pasukan Penjara Sungai Buloh bagi tempat ketiga dan keempat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Kejayaan itu membolehkan MBSA A membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta medal.

Pasukan MBSA B pula memperoleh wang tunai RM1,000 dan medal.

Pasukan MBSA sebelum ini menjuarai beberapa kejohanan tarik tali antaranya anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Sungai Petani, Majlis Bandaraya Jasin dan Majlis Bandaraya Teluk Intan.

Shahrin menambah, kejayaan itu merupakan satu pencapaian memberangsangkan sekali gus meningkatkan imej MBSA di mata masyarakat.

“MBSA amat menggalakkan kakitangan pelbagai peringkat jawatan untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti sukan seperti ini kerana ia dapat melahirkan kakitangan yang cergas, sihat serta berdisiplin,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN