SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, saya pulang ke kampung yang terletak di Batu Pahat, Johor sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina. Saya sempat singgah makan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh.
Seperti kebiasaan setiap kali tiba cuti umum yang panjang pastinya mana-mana kawasan R&R dipenuhi pengguna lebuh raya yang berhenti untuk pelbagai tujuan antaranya mengisi perut, begitu juga saya.
Bagaimanapun, ada suatu perkara yang agak menjengkelkan saya ketika singgah untuk menjamu selera di sana kerana salah sebuah restoran makanan segera yang saya kunjungi dipenuhi lalat. Malah kawasan di sekitar R&R berkenaan juga turut dipenuhi lalat sehingga mengundang rasa kurang selesa kepada kami.
Saya berasa pelik, ada pihak yang mengendalikan R&R tersebut tidak perasan keadaan itu. Jika perasan pun, mengapa tiada tindakan diambil bagi menanganinya? Aspek kebersihan adalah perkara paling mustahak bagi sesebuah premis makanan.
Saya serta ahli keluarga benar-benar berasa tidak selesa untuk makan di situ dan tidak lagi merancang untuk singgah di kawasan berkenaan sekiranya kami pulang ke kampung selepas ini.
Saya berharap pihak PLUS Malaysia Berhad dapat memantau kawasan R&R tersebut bagi menjamin kebersihannya terutama kepada pengunjung yang berhenti makan dan minum di situ.
PENGGUNA LEBUH RAYA
Kuala Lumpur










