Malaysia, Indonesia runding bebaskan bot nelayan - Utusan Malaysia

Malaysia, Indonesia runding bebaskan bot nelayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 15 Feb. – Kerajaan sedang berunding dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung pembebasan sebuah bot nelayan yang ditahan penguasa negara itu kelmarin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata kerajaan mempunyai bukti mencukupi untuk menunjukkan bot itu tidak menceroboh sempadan perairan sebaliknya berada dalam kawasan perairan bertindih kedua-dua negara.

“Mengikut memorandum persefahaman yang dibuat pada 2012, kedua-dua pihak berkuasa sama ada Indonesia atau Malaysia tidak boleh melakukan tangkapan di kawasan tersebut.

“Namun tangkapan telah dibuat walhal tidak berlaku pencerobohan atau perlanggaran undang-undang dan kita sedang berkomunikasi dengan mereka agar perkara ini dapat diselesaikan selain rundingan lanjut supaya ia tidak berulang,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu Mohd Azis merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-14 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang bertemakan “Perkasa Maritimku” di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas) di sini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar.

Media semalam melaporkan kenyataan Maritim Malaysia berkaitan penahanan bot nelayan tempatan PKFB 1689 dari Pantai Remis, Perak yang dikatakan masih berada dalam perairan negara iaitu di Pulau Talang, Perak sebelum ditarik memasuki perairan Indonesia dan menghala ke Medan.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu empat nelayan iaitu seorang rakyat Thailand dan tiga warga Kemboja berjaya diselamatkan.

Terdahulu, Mohd Azis semasa berucap memaklumkan Maritim Malaysia dijangka memperoleh tiga kapal peronda pesisir menjelang tahun depan bagi memantapkan lagi agensi itu dalam menjalankan tugas menguatkuasakan undang-undang dan memelihara kedaulatan perairan negara.

Katanya pembinaan prasarana baharu seperti pangkalan Maritim Malaysia di sini dan Miri, Sarawak juga akan dilaksanakan secara berperingkat di samping menambah kamera pengawasan di laut khususnya di pantai timur Sabah bagi memantau aktiviti pencerobohan.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN