KUALA LUMPUR 15 Feb. – Timbalan Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Tan Sri Khalid Yunus mempersoalkan sama ada terdapat pihak yang takut sekiranya parti itu ditubuhkan.
Khalid berkata, hal ini kerana walaupun lebih enam bulan pihaknya melakukan pendaftaran dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tetapi sehingga kini masih tiada sebarang jawapan konkrit diberikan kepada mereka berkenaan status permohonan tersebut.
“Saya memohon kepada ROS untuk menjelaskan status permohonan Putra ini. Jika tidak lulus, beritahu kami. Jangan pula hanya diam membisu.
“Mengikut prosedur operasi standard (SOP), kebiasaannya status kelulusan permohonan parti hanya mengambil masa sebulan tetapi mengapa Putra yang sudah lebih enam bulan masih tidak mendapat jawapan?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas Penaja Putra di pejabat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Presiden Penaja Putra, Datuk Ibrahim Ali; Ketua Penerangan Penajanya, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz dan Ahli Jawatankuasa Penaja, Datuk Hamidah Osman. – UTUSAN ONLINE










