Jadi masyarakat membaca - Utusan Malaysia

Jadi masyarakat membaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
TAHUN hadapan, Kuala Lumpur akan dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Dengan slogan KL Baca: Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan, usaha murni ini perlu disambut baik oleh seluruh rakyat Malaysia. Sokongan rakyat sangat penting dalam memastikan keberkesanan pengiktirafan ini kepada negara. Membaca perlu dijadikan satu budaya malah sebagai rutin seharian. Minat membaca perlu dipupuk seawal mungkin. Ibu bapa dan guru sekolah boleh berperanan dalam hal itu. Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) yang diperkenalkan pada 1998 di sekolah-sekolah adalah salah satu usaha kerajaan bagi membudayakan tabiat membaca dan menerapkan budaya ilmu dalam kalangan pelajar.

Membaca bukan semata-mata untuk lulus peperiksaan tetapi menjadi sumber maklumat dan ilmu. Masyarakat yang terdidik dengan membaca akan memartabatkan diri mereka sebagai seorang yang berpengetahuan luas dan mempunyai tahap keilmuan tinggi. Apabila rakyatnya membaca, ia sekali gus memacu negara ke arah kemajuan sejagat.

Penciptaan dan inovasi perlu berpaksikan kepada pembacaan terlebih dahulu supaya tidak dikatakan syok sendiri, sebaliknya berstatus impak tinggi yang akan membuka peluang kepada pengkomersialan produk sekali gus berupaya menjana pendapatan negara.

Persoalannya, bersediakah rakyat Malaysia untuk memegang gelaran sebagai masyarakat membaca? Berapa perenggan bahan bacaan yang dibaca dalam sehari?

Jangan pula keliru, membaca bukan bermaksud membaca bahan-bahan bercetak semata-mata. Konteksnya adalah amat luas, lebih-lebih lagi bahan-bahan bacaan kini boleh dicapai secara maya.

Justeru, didiklah diri supaya berjiwa besar. Paling utama, didiklah anak-anak pewaris negara supaya turut cintakan buku. Kerajaan tidak gagal dalam menyediakan prasarana membaca tetapi rakyatnya yang kurang peka dalam memanfaatkan kemudahan itu. Daripada asyik ‘membawang’, baik kita asyik membaca!

AZURA ABDUL JAMIL
Pensyarah Kanan 
(Pengurusan Maklumat) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN