FAM sedia libatkan SPRM - Utusan Malaysia

FAM sedia libatkan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya hanya akan membawa kes mengatur perlawanan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya menerima laporan rasmi serta bukti yang kukuh.

Menurutnya, FAM setakat ini belum menerima sebarang laporan rasmi selepas terdapat perkhabaran aksi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Perlis yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang Jumaat lepas mempunyai unsur pengaturan perlawanan.

Bagaimanapun, siasatan peringkat awal tetap dijalankan FAM bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) demi memastikan integriti bola sepak terutamanya dalam Liga Malaysia (Liga M) menjadi ke­utamaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara ini hanya muncul di media sosial dan tiada laporan rasmi diterima pihak FAM.

“FAM sendiri memiliki bahagian inte­griti yang membolehkan pihak luar atau peminat membuat laporan serta aduan berkaitan skandal mengatur perlawanan.

“Seterusnya pihak integriti akan be­kerjasama dengan SPRM sekiranya terdapat sebarang laporan mengenainya dan ia mempunyai bukti yang kukuh untuk disabitkan kes tetapi sekadar cerita-cerita di media sosial.

“Kami hanya akan bergerak ke hadapan jika ada bukti dan aduan rasmi kami terima,” katanya ketika ditemui di Shah Alam kelmarin.

Perlawanan yang memihak 2-1 kepada JDT II itu dikaitkan dengan gejala bookie ekoran insiden gol kedua pasukan Harimau Selatan pada minit ke-90 yang berpunca daripada hantaran lemah seorang pemain pertahanan Perlis kepada penjaga golnya.

Pada masa sama, Stuart menasihatkan orang ramai tidak menjadikan kesilapan teknikal di atas padang sebagai bukti wujudnya bookie perlawanan.

“Kita tidak boleh bergerak hanya melalui komen-komen di media sosial sahaja. Kita jangan jadikan kesilapan teknikal bola padang untuk tunjukkan adanya bookie.

“Saya enggan memberikan sebarang komen selagi belum ada laporan rasmi yang diterima dan kemukakan kepada FAM,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×