KUALA LUMPUR 15 Feb. – Biarpun sudah berulang kali diberi amaran, namun masih ada pasukan degil apabila tidak menyerahkan dokumen kewangan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada hari terakhir hari ini.
Menurut MFL, hanya lima daripada tujuh pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji menyerahkan dokumen seperti dituntut.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd. sambil mengingatkan pasukan yang terlibat dalam masalah tunggakan gaji agar lebih serius menangani krisis kewangan.
MFL bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama pasukan yang sudah atau belum menghantar dokumen tersebut.
Biarpun tidak mendedahkannya, namun Felda United, Kuala Lumpur, Perlis, Kelantan serta Terengganu City antara yang berdepan isu tunggakan gaji pemain ketika ini.
“Seperti semua pasukan tersebut sedia maklum, hari ini adalah tarikh tutup untuk ketujuh-tujuh pasukan mengemukakan bukti bayaran yang sudah dibuat.
“Setakat pukul 5 petang hari ini hanya lima pasukan sudah menyerahkan dokumen.
“Sekretariat MFL akan membuat semakan terperinci sama ada dokumen yang dihantar itu lengkap seperti mana yang kita nak tapi lagi dua pasukan setakat ini belum menyerahkan dokumen yang kita mahukan.
“Kita sudah beri ruang dan masa secukupnya kepada setiap pasukan mengumpul segala dokumen dan menyerahkan kepada MFL dan saya percaya semua pasukan sedia maklum dengan peraturan ini,” katanya.
MFL sebelum ini memberi tempoh sehingga hari ini untuk melihat laporan kewangan pasukan yang berdepan isu tunggakan gaji pemain atau mereka berdepan risiko tidak akan menerima geran tahunan.
Biarpun tidak menyatakan jumlah geran yang sepatutnya dinikmati, namun berdasarkan pembayaran tahun lalu, pasukan Liga Super menerima RM3 juta manakala RM1 juta untuk mereka dalam Liga Perdana.
“Amalan MFL sebelum ini, semua sedia maklum impaknya di mana ia mungkin akan memberi kesan kepada geran tahunan yang akan kita berikan kepada setiap pasukan iaitu RM3 juta kepada pasukan unifi Liga Super dan RM1 juta Liga Perdana.
“Salah satu penalti yang akan kita gunakan adalah pemotongan geran dan selebihnya akan diserah kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk buat keputusan,” katanya.











