JELEBU 16 Feb. – Sebanyak 15 ekor biri-biri ditemukan mati dipercayai akibat dibaham harimau di Kampung Geylang dekat Pertang di sini pagi tadi.
Bendahari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Geylang, Azmi Abd. Rahman berkata, kejadian itu disedari kira-kira pukul 8 pagi ketika pemilik ternakan itu masuk ke kandang biri-biri berdekatan rumahnya untuk memberi haiwan itu makan.
“Dia terkejut mendapati 15 biri-biri miliknya mati bergelimpangan dalam kandang.
“Terdapat kesan kulit haiwan itu disiat dan dirobek di bahagian perut hingga menampakkan tulang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, berdasarkan keadaan penemuan itu, pihaknya percaya ia adalah perbuatan harimau.
Jelasnya, kejadian serupa pernah berlaku di kampung itu dua bulan lalu tetapi haiwan peliharaan penduduk ditemukan mati di luar kandang.
Sebelum ini, tambahnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang perangkap, namun usaha itu belum berjaya sehingga kini.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi enggan mengulas kes itu kerana belum menerima laporan mengenainya. – UTUSAN ONLINE










