KUALA LUMPUR 19 Jan. – Penularan klip video beberapa individu penting dalam institusi perundangan negara menari twist dalam sebuah majlis makan malam turut mendapat perhatian Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.
Mohd. Asri menegaskan individu-individu yang memegang peranan penting dalam negara seharusnya mengawal cara dan kesantunan supaya tidak dianggap melangkaui tertib.
Jelas beliau, penularan video seumpama itu ternyata mengundang persepsi salah dan menurunkan nilai penghormatan di mata awam apatah lagi dalam budaya masyarakat di negara ini.
“Setiap orang ada cara kehidupan tersendiri apatah lagi bagi yang mempunyai kepercayaan yang berbeza. Itu adalah pilihan masing-masing.
“Namun, bagi individu-individu yang memegang peranan penting dalam negara dan mempunyai nama dalam masyarakat seeloknya mengawal cara serta kesantunan di khalayak awam agar tidak dianggap ‘tidak menjaga ketertiban’ yang sepatutnya. Lebih-lebih lagi lambang negara dan institusi penting diletakkan di situ,” katanya dalam akaun Facebook miliknya hari ini.
Sebuah klip video yang memaparkan pegawai-pegawai tertinggi badan perundangan negara menari dalam satu majlis makan malam tular dalam media sosial sejak semalam sehingga mencetuskan perdebatan hangat.
Video berdurasi seminit 37 saat dipercayai dirakam semasa Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah memperlihatkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas menari twist mengikuti rentak irama twist sebuah lagu Inggeris.
Selain Malanjum dan Tommy, turut kelihatan menari-nari dalam majlis yang dipercayai dihadiri oleh para pengamal undang-undang itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong serta peguam-peguam kontroversi seperti Datuk S. Ambiga dan Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim.
Tambah Mohd. Asri, masyarakat juga tidak mempertikaikan Siti yang turut kelihatan dalam video berkenaan dan berharap aktivis sosial itu supaya tidak salah faham.
“Kita percaya tiada siapa yang rasional akan mempertikaikan beliau sekalipun jika keadaan seribu kali lebih dari ini. Harap beliau tidak salah faham dan menganggap hal ini ditujukan kepada beliau.
“Kita ingin berbicara kepada mereka yang patut menjaga status disebabkan kedudukannya atau nilai positif yang ada padanya dalam masyarakat dan negara. Hal ini mesti diberikan perhatian tanpa mengira latar politik dan kefahaman,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE










