KUALA LUMPUR 27 Jan. – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands tidak harus menjadikan ahli UMNO berasa selesa atau leka.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, malah seluruh ahli parti dan kepemimpinannya mesti terus berusaha meletakkan BN dan UMNO di hati rakyat.
“Kemenangan ini mesti menjadikan kita bekerja dengan lebih kuat untuk kemenangan yang lebih besar selepas ini. UMNO mesti bekerja dengan lebih kuat.
“Kemenangan yang besar ertinya ((di PRK Cameron Highlands ini) dan pasti saya ingin ucapkan tahniah. Rakaman ucapan ribuan terima kasih kepada seluruh pimpinan, jentera kempen UMNO dan BN serta Pas di atas kerja keras membantu kemenangan calon BN Ramli Mohd. Nor.
“Paling istimewa pasti kepada semua pengundi dan penyokong calon BN,” kata beliau dalam kenyataan pagi ini.
Menurut beliau, keputusan dengan majoriti yang bertambah kepada calon BN adalah petanda atau isyarat bahawa BN tetap menjadi pilihan rakyat.
“Keadaan juga memperlihatkan bahawa kerjasama UMNO-Pas benar-benar berkesan kali ini dan memperlihat suatu yang amat baik kepada masa depan politik BN dan Pas.
“Tahniah kepada BN yang mencipta sejarah melahirkan Ahli Parlimen pertama dari kalangan masyarakat Orang Asli. Saya yakin beliau akan memainkan peranan besar terutama membawa suara masyarakat Orang Asli di Dewan Rakyat,” kata beliau.
– UTUSAN ONLINE.










