PUTRAJAYA 1 Jan. – Larangan merokok di kedai makanan bukan sahaja mendapat sokongan orang ramai, bahkan kalangan para pengusaha restoran turut sama menyahut peraturan itu apabila tidak lagi meletakkan bekas abu rokok di atas meja makan.
Tinjauan Utusan Online di beberapa premis sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan hari ini mendapati bekas abu yang sering dijadikan oleh perokok tegar membuang debu-debu dan puntung rokok sudah lagi tidak kelihatan.
Menurut pengurus Restoran Shannaz Maju Presint 9, Shahul Jothi, 35, pihak pengurusan restoran telah mengarahkan para pekerja untuk menyimpan bekas-bekas abu sejak dua hari lalu sebagai tanda akur terhadap peraturan kerajaan berkenaan.
“Malah kami sudah tidak lagi tidak jual rokok di kaunter bayaran kerana tidak ingin mengalakkan para pelanggan membeli rokok sewenang-wenangnya.
“Alhamdulillah setakat saat ini, saya tidak nampak orang merokok di restoran ini,” katanya.
Pada masa sama, pemilik gerai makanan Medan Selera Presint 9, Normah Ali, 52, pula menggesa kerajaan untuk melarang terus merokok walaupun jarak tiga meter dari premis makanan.
Katanya, terdapat orang ramai yang mengambil kesempatan merokok di belakang dapur restoran sehingga menganggunya untuk berniaga.
“Memang tidak boleh merokok di kawasan ditetapkan, tetapi berani pula sorok-sorok di belakang dapur sebab takut penguat kuasa Kementerian Kesihatan nampak,” katanya.
Selain itu, bagi penjawat awam, Ella Yahya, 32, pula menyifatkan peraturan itu merupakan langkah awal untuk memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap kesan merokok kepada kesihatan.
“Selain menjejaskan kesihatan perokok, orang di sekeliling seperti kami turut terjejas kerana terpaksa bernafas dengan kepulan asap rokok,” katanya. – UTUSAN ONLINE










