Pelukan terakhir anak sebelum mati lemas

Pelukan terakhir anak sebelum mati lemas

Nor Shamsiah Mohd. Jali menunjukkan gambar Muhammad Shahir Nazril Mohd. Nuzi yang ditemukan lemas di Kampung Anak Musang, Besut, Terengganu, semalam. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: “Mana tahu ini pelukan terakhir abang dengan umi. Abang sayang umi, ” itu kata-kata terakhir Muhammad Shahir Nazril Mohd Nuzi kepada ibunya sebelum dia ditemukan lemas petang semalam.

Ibunya Nor Shamsiah Mohd Jali, 50, berkata, kebelakangan ini anaknya Muhammad Shahir Nazril, 12, sering menuturkan kata-kata itu kepadanya namun ia tidak menyangka bahawa ia petanda kepergiannya.

Kata beliau, anak lelakinya itu sangat rapat dengannya dan sering memeluknya sebelum tidur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya kira-kira pukul 4 petang. Tengah hari itu, dia datang mengambil saya bersama kakaknya dari sekolah tempat saya mengajar.

“Semalam, dia ada beritahu mahu keluar memancing dengan kawan-kawannya kira-kira pukul 5.30 petang kerana telah merancangnya malam sebelumnya, tetapi saya sudah larang. Namun dia tetap keluar secara senyap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Anak Musang di sini.

Katanya, sejak kebelakangan ini, anaknya menunjukkan minat mendalam terhadap aktiviti memancing dan kerap mengikut bapanya, Mohd. Nuzi Yaacob, 54, ke lokasi memancing termasuk menyertai pertandingan.

Nor Shamsiah berkata dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya selepas ibunya menghubungi salah seorang anaknya dan memaklumkan Allahyarham hilang.

Menurutnya ketika mendengar berita itu, naluri seorang ibu menyatakan arwah berkemungkinan lemas ekoran sebelumnya dia ada meminta izin untuk keluar memancing.

Nor Shamsiah berkata, pemergian anaknya amat dirasai seluruh keluarga, apatah lagi sebelumnya arwah sangat teruja selepas baru sahaja bergraduasi pada Majlis Konvokesyen Tahun Enam Zon Jabi pada Selasa lalu.

“Dia sangat teruja dengan konvokesyen itu. Sebelum ini, dia pernah bergambar memakai jubah konvokesyen kakak-kakaknya tetapi kali ini memakai jubah miliknya sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini