Tropicana tawar pembangunan TOD bernilai RM1.3 bilion di Cyberjaya - Utusan Malaysia

Tropicana tawar pembangunan TOD bernilai RM1.3 bilion di Cyberjaya

IXORA Ang (tengah) bersama Timbalan Pengurus Besar Pemasaran dan Jualan Tropicana, Eric Choy (kiri) bergambar pada Majlis Pembukaan Galeri Hartanah dan Unit Pameran Tropicana Avan di Cyberjaya, semalam. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran hartanah tempatan menerusi pelancaran Tropicana Avan, pembangunan sulung kumpulan itu di Cyberjaya dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.3 bilion.

Pembangunan berkonsepkan pembangunan berorientasikan transit (TOD) itu mencerminkan komitmen Tropicana untuk memperluas portfolio hartanahnya menerusi pembangunan bersepadu yang mengutamakan kesalinghubungan, kemudahan moden serta gaya hidup bandar.

Projek pegangan bebas seluas 2.9 hektar yang terletak di sepanjang Persiaran APEC itu menandakan langkah strategik Tropicana memasuki pasaran hartanah di hab teknologi dan inovasi negara berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Urusan Pemasaran, Jualan, dan Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang berkata, Cyberjaya mempunyai potensi pertumbuhan yang menarik berikutan kedudukannya sebagai antara hab teknologi dan inovasi utama negara, selain disokong kehadiran syarikat antarabangsa, institusi pendidikan serta rangkaian perhubungan yang baik.

Ujarnya, perkembangan ekosistem perniagaan dan teknologi di bandar itu turut membuka peluang kepada kumpulan untuk memperkenalkan produk hartanah yang memenuhi keperluan pembeli rumah masa kini.

“Sebagai pembangunan pertama kami di Cyberjaya, Tropicana Avan mencerminkan komitmen untuk membawa produk berkualiti, bernilai dan inovatif ke lokasi pertumbuhan baharu.

“Dengan jarak kira-kira 100 meter dari Stesen MRT Cyberjaya City Centre, podium kemudahan gaya hidup seluas 57,000 kaki persegi serta hab peruncitan tiga tingkat yang menempatkan 65 lot kedai, pembangunan ini menggabungkan aspek perhubungan, kemudahan dan gaya hidup dalam satu kawasan bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis pelancaran Galeri Tropicana Avan  di Cyberjaya di sini semalam.

Pelancaran Tropicana Avan disempurnakan menerusi pembukaan rasmi Galeri Hartanah dan unit pemeran, sekali gus memperkenalkan pembangunan bersepadu yang merangkumi pangsapuri servis, podium kemudahan gaya hidup seluas 57,000 kaki persegi serta hab peruncitan tiga tingkat.

Tropicana Avan turut dirancang sebagai pembangunan tertinggi di Cyberjaya dan projek pertama di bandar itu di bawah koleksi Tropicana Rise.

Pembangunan berkenaan direka oleh Veritas Architects dengan mengetengahkan identiti seni bina moden serta DNA pembangunan Tropicana yang menekankan aspek kualiti dan pengalaman kehidupan bandar.

Projek ini menawarkan unit kediaman dengan keluasan bermula 750 kaki persegi, merangkumi dua bilik tidur dan dua bilik air, pada harga kasar bermula RM372,000.

Selain itu, pembeli turut mempunyai pilihan unit berkeluasan 900 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, pada harga kasar bermula RM433,000.

Dari aspek perhubungan, Cyberjaya mempunyai akses kepada beberapa lebuh raya utama termasuk Maju Expressway (MEX), Lingkaran Putrajaya, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya ELITE, Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya SILK.

Selain itu, kedudukannya yang berhampiran Putrajaya serta beberapa kawasan pembangunan utama seperti Puchong, Bukit Jalil, Bandar Sunway, Subang Jaya dan Kajang turut meningkatkan daya tarikan Cyberjaya sebagai lokasi kediaman dan pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini