Raja Muda Perlis sambut hari keputeraan ke-51 - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis sambut hari keputeraan ke-51

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Jan. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyambut hari keputeraan ke-51 pada 30 Disember lalu di ibu negara. 

Baginda diraikan dalam satu majlis santapan malam oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda baginda berdua, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah, Puteri Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin Putra amat prihatin perihal kebajikan rakyat dan telah mencetuskan program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ ke segenap pelosok negeri bagi mengagihkan sumbangan zakat MAIPs sejak tahun 2013 lagi. 

Sepanjang 2018 yang lalu sahaja sebanyak 95 kayuhan diadakan melibatkan seramai 11,400 asnaf terpilih masing-masing menerima sumbangan zakat MAIPs sebanyak RM600 setiap seorang.

Baginda turut mengetuai delegasi misi kemanusiaan MAIPs secara tahunan membantu pelarian Syria di sempadan Jordan (2016) dan Rohingnya di Cox’s Bazaar, Bangladesh (2017). Pada tahun lalu baginda berangkat pula ke Baitulmuqadis, Palestin untuk melaksanakan misi bantuan Al-Quds.

Pada bulan Oktober lepas, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat menerima undangan ke International University for Renewal (IUR) di Esenyurt, Turki bagi menyampaikan titah dan seterusnya merasmikan ‘Seminar Warisan Nabawi (SWAN 2018)’ peringkat antarabangsa anjuran universiti tersebut dan Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Memanfaatkan pengalaman dan jaringan baginda ketika berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) di luar negara suatu ketika dahulu, baginda memperkenalkan lagi negeri Perlis melalui hidangan juadah istimewa sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2018.

Kurma Daging Perlis menjadi pilihan untuk disajikan kepada penumpang kelas pertama dan perniagaan, manakala  penumpang di kelas ekonomi pula dapat menikmati ‘Kurma Ayam Perlis’ untuk hari raya pertama, kedua dan ketiga untuk beberapa sektor utama yang terpilih oleh syarikat penerbangan nasional tersebut.
-UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN