Peragut dicekup dan dibelasah orang awam - Utusan Malaysia

Peragut dicekup dan dibelasah orang awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Padah menimpa seorang peragut apabila bukan sahaja tidak dapat membelanjakan hasil samun tetapi turut menjadi mangsa belasahan orang awam di Jalan Bunga Raya Pantai, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, suspek berusia 39 tahun yang menunggang motosikal berjaya ditangkap orang ramai bersama-sama dengan barangan yang diragut. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebelum kejadian mangsa bersama suaminya sedang menjamu selera di sebuah restoran sebelum dihampiri lelaki berkenaan lalu bertindak melarikan beg tangan mangsa.

Jelasnya, suami mangsa kemudian bertindak mengejar lelaki terbabit, namun tidak berjaya.

“Bagaimanapun orang awam yang kebetulan berada di lokasi menyedari kejadian kemudian cuba mengejar sebelum lelaki terbabit dapat ditangkap.

“Pihak polis kemudian dimaklumkan mengenai kejadian sebelum tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian dan membawanya balik ke balai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Afzanizar berkata, kesemua barangan milik mangsa yang berumur 43 tahun itu dipulangkan semula dan tiada kehilangan direkodkan.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kita percaya dia turut terlibat dalam beberapa kes ragut lain. Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 392/395 Kanun Keseksaan” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN