Mansuh tol motosikal langkah permulaan ke arah hapus tol - Guan Eng - Utusan Malaysia

Mansuh tol motosikal langkah permulaan ke arah hapus tol – Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Pemansuhan tol motosikal di tiga laluan yang berkuatkuasa tengah malam tadi adalah sebahagian usaha kerajaan untuk memenuhi manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, keputusan itu adalah langkah permulaan  ke arah pemansuhan sepenuhnya tol di negara ini.

“Tapi kita kena terima hakikat bahawa oleh kerana skandal 1MDB (1Malaysia Development Bhd. dan juga kedudukan kewangan akibat skandal 1MDB tidak membolehkan kita melaksanakannya dengan segera. Ini yang terus kita berusaha tapi sekarang kita nak pulihkan kedudukan fiskal kita terlebih dahulu.

“Di sini kita tak sebut dengan hapuskan tol motosikal sudah, itulah penamatnya tidak, kita akan terus berusaha (menghapuskan tol). Sekiranya kedudukan fiskal adalah lebih baik daripada yang kita jangka mungkin ada berita baik lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek naik taraf lif Perumahan Kastam Bukit Gelugor di sini hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2019, 2 November lepas, Guan Eng mengumumkan kerajaan akan memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuh Raya Laluan Kedua, Johor mulai 1 Januari 2019 dengan implikasi kewangan kira-kira RM20 juta setahun. – Bernama
 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN